KOTA TINGGI, 16 Feb – Hasrat 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba pulang ke Indonesia melalui jalan tidak sah berjaya dipatahkan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) di pinggir hutan Tenggaroh, pada Rabu.
Sel Perhubungan Raya, Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) berkata, pada jam 4.20 pagi, tim ronda telah mengesan dan melihat pergerakan orang yang mencurigakan di kawasan tersebut setelah menerima maklumat daripada orang kampung.
“Tim Quick Reaction Force (QRF) telah diaturgerakkan ke lokasi kejadian dan seterusnya berjaya menahan dan membuat penangkapan ke atas 11 PATI pada jam 5.10 pagi,
“Kesemua PATI telah dibawa ke Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang untuk proses pemeriksaan dan dokumentasi,
“Laporan Polis telah dibuat di Balai Polis Sungai Ambat pada jam 8.00 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kesemua PATI lelaki tersebut berusia 19 hingga 50 tahun telah dibuat saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Sungai Rengit.
“Hasil ujian saringan mendapati kesemua PATI negatif COVID-19,
“Kesemua PATI telah diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia, Johor Bahru pada jam 4.00 petang,” ujarnya.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM413.48 melibatkan matawang Malaysia RM208.30, matawang Indonesia IDR 18,000.00 (RM 5.27), matawang Vietnam VND 1,000 (RM0.18), 4 buah telefon bimbit pelbagai jenama bernilai RM200. – airtimes.my