KUALA LUMPUR, 16 Feb – Kerajaan Malaysia dan Filipina telah mencapai kata sepakat pada Isnin untuk saling mengiktiraf sijil vaksinasi COVID-19 secara timbal balas.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan berkata, pengembara dari Malaysia kini dibenarkan memasuki Filipina dengan menunjukkan bukti sijil vaksinasi lengkap dalam aplikasi MySejahtera masing-masing.
“Sementara pengembara dari Filipina dibenarkan memasuki Malaysia dengan bukti sijil vaksinasi lengkap dalam VaxcertPH negara tersebut,
“Kemasukan pengembara juga tertakluk kepada prosedur kuarantin semasa yang ditetapkan oleh pihak berkuasa di kedua-dua negara,” katanya semalam.
Menurut Wisma Putra, persetujuan tersebut telah membolehkan Kedutaan Besar Malaysia di Manila membantu 7 rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Manila pada 13 Februari lalu untuk memasuki Filipina atas tujuan rasmi dan perniagaan.
“Pada dasarnya, Malaysia mengiktiraf pengembara yang telah lengkap menerima vaksin yang diluluskan di bawah senarai kegunaan kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) atau pihak berkuasa negara-negara tersebut,
“Walau bagaimanapun, pengiktirafan sijil digital vaksinasi MySejahtera adalah tertalkuk kepada keputusan kerajaan negara lain,” ujarnya.
Tambahnya, kerajaan Malaysia dan Filipina juga sepakat untuk meneruskan kerjasama ke arah verifikasi ketulenan sijil vaksinasi COVID-19 kedua-dua negara secara atas talian dengan sistem yang lebih selamat dan terjamin.
“Kerjasama ini bagi memudahkan laluan kemasukan pengembara yang telah lengkap divaksinasi COVOD-19,” jelasnya. – airtimes.my