PELABUHAN KLANG, 16 Feb – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merekodkan RM2.7 billion hasil rampasan, lelongan, kompaun dan denda menerusi pelbagai penguatkuasaan sepanjang sejak 17 tahun penubuhannya.
Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, kejayaan itu membabitkan penguatkuasaan terhadap bot nelayan asing (BNA), pendatang asing tanpa izin (PATI) , penyeludupan dadah, rokok, ketum serta barangan kawalan lain.
Beliau menjelaskan, APMM turut mengkoordinasikan 2,428 operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) yang melibatkan 10,077 mangsa dan lebih RM650 juta nilai harta benda diselamatkan.
“Beberapa operasi khas yang menjadi penanda aras APMM seperti Operasi Naga, Operasi Kuda Laut, Operasi Jangkar Haram serta Operasi Benteng (Op Benteng) telah merekodkan kejayaan
membanggakan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, beliau mengiringi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Sambutan Hari Ulang Tahun ke-17 APMM (HUT17 APMM) di atas KM Arau di kedudukan 30 batu nautika dari Pusat Hidrografi Nasional, semalam.
Mohd Zubil berkata, ‘Kami Serius Melaksanakannya’ diangkat sebagai tema sambutan HUT-17 APMM dengan acara perarakan atau lintas hormat aset laut dan udara (Fleet Review: Sail Pass and Fly Pass) di perairan Selangor.
Tambahnya, sebagai agensi keselamatan yang bernaung di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), APMM akan terus memberikan komitmen dan melipatgandakan usaha dengan lebih konsisten berteraskan ‘Kami Serius Melaksanakannya’ demi kelangsungan kemakmuran perairan negara.
“Buat julung kalinya pada tahun ini acara perarakan atau lintas hormat aset laut dan udara diadakan di perairan Selangor melibatkan 10 kapal termasuk dua kapal pesisir luar pantai atau `Offshore Patrol Vessel’ (OPV) iaitu KM ARAU dan KM PEKAN, 6 pesawat udara serta lapan bot,
“Selain acara lintas hormat, aset-aset laut dan udara turut mengadakan persembahan formasi serta demonstrasi penguatkuasaan dan menyelamat di laut,” ujarnya. -airtimes.my