MOSKOW, 15 Feb – Jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia hari ini menyatakan negaranya telah mencapai kejayaan tanpa melepaskan sebarang tembakan.
Maria Zakharova dalam satu hantaran di akaun media sosial rasminya berkata, ianya satu detik bersejarah buat Rusia.
“15 Februari 2022 akan diingati dalam sejarah sebagai hari kegagalan perang propaganda oleh Barat,
“Mereka dimalukan dan dimusnahkan tanpa sebarang tembakan,” katanya.
Beliau menyatakan perkara tersebut tidak lama selepas Kementerian Pertahanan Rusia menyatakan sebahagian daripada unit tentera negara itu telah diarahkan pulang ke pangkalan masing-masing.
“Anggota tentera dari Wilayah Selatan dan Wilayah Barat mula pulang ke pangkalan masing-masing,” kata Mejar Jeneral Igor Konashenkov.
Beliau menyatakan perkara tersebut dalam video yang disiarkan oleh Kementerian Pertahanan Rusia.
Menurut beliau, Angkatan Tentera Rusia sentiasa melaksanakan operasi berskala besar yang kompleks pada setiap masa dan disusuli dengan latihan berterusan.
Menurut beliau, Rusia dan Belarus sedang melaksanakan latihan ketenteraan berskala besar, Union Resolve-2022. Latihan ini melibatkan kerjasama antara kedua-dua negara dalam membendung ancaman luar terhadap Rusia dan Belarus.
“Latihan ini melibatkan hampir keseluruhan unit tentera Rusia,” ujarnya.
Kementerian Pertahanan Rusia turut menyiarkan video yang memaparkan sebahagian anggota tentera negara itu sedang bersiap sedia pulang ke pangkalan dengan menaiki kereta api.– airtimes.my
Notis peringatan: Artikel dan berita eksklusif Air Times News Network tidak dibenarkan untuk diulang terbit, ulang siar, dan dicetak. Penggunaan sebagai konten Youtube termasuk skrip turut dilarang sama sekali.