KYIV, 15 Feb – Amerika Syarikat (AS) dilaporkan mula memindahkan operasi kedutaan mereka dari ibu negara Ukraine, Kyiv.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony J. Blinken dalam satu kenyataan berkata, proses pemindahan tersebut dilaksanakan berikutan jumlah tentera Rusia di kawasan sempadan Ukraine semakin bertambah secara dramatik.
“Pihak kedutaan akan sentiasa berhubung dan koordinasi urusan diplomatik dengan kerajaan Ukraine,
“Kita sedang berusaha dari aspek diplomasi bagi mengurangkan ketegangan krisis,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Difahamkan operasi kedutaan AS dipindahkan ke bandar Lyiv, bandar yang terletak di wilayah barat Ukraine, berhampiran dengan sempadan Poland.
Blinken turut menegaskan komitmen AS terhadap Ukraine tidak berganjak walaupun pemindahan pusat operasi kedutaan dilaksanakan.
Pada masa yang sama, beliau menggesa rakyat AS yang masih berada di Ukraine untuk keluar dari negara itu dengan segera.
Sementara itu, Wall Street Journal melaporkan Jabatan Negara AS telah mengarahkan pihak kedutaan untuk memusnahkan kelengkapan serta komputer sebelum meninggalkan premis tersebut.
Media UK melaporkan kira-kira 60 peratus kekuatan ketenteraan Rusia kini berkumpul di kawasan sempadan Ukraine.
Menurutnya, sebanyak 100 kumpulan batalion taktikal Tentera Rusia dikesan berada di lokasi tersebut.
Rusia sebelum ini dilaporkan telah meletakkan lebih 130 ribu anggota tentera di sempadan Ukraine. Perkembangan ini sekaligus menimbulkan kebimbangan kemungkinan serangan terhadap Kyiv akan dilancarkan pada bila-bila masa.
Tambahan pula, Ukraine menegaskan mereka tetap meneruskan hasrat untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). – airtimes.my
Notis peringatan: Artikel dan berita eksklusif Air Times News Network tidak dibenarkan untuk diulang terbit, ulang siar, dan dicetak. Penggunaan sebagai konten Youtube termasuk skrip turut dilarang sama sekali.