KUCHING, 15 Feb – Cubaan 3 lelaki warga tempatan, dipercayai ‘tekong darat’ menyeludup masuk 4 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia di Lubok Antu berjaya dipatahkan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam Operasi Benteng (Op Benteng), awal pagi tadi.
Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) dalam kenyataan berkata, kesemua suspek dikesan menaiki sebuah kenderaan jenis pacuan 4 roda (4WD) dalam keadaan mencurigakan di kawasan Sanitary Landfill Site, sekitar jam 4.17 pagi.
Menurutnya, pasukan operasi kemudian bertindak menahan kenderaan tersebut iaitu kira-kira 3.8 kilometer dari sempadan Malaysia-Indonesia untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 3 warga tempatan yang disyaki sebagai tekong bersama 4 lagi individu warga negara Indonesia termasuk seorang kanak-kanak berusia 5 tahun (perempuan) dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun dipercayai sebagai PATI sedang melaksanakan aktiviti pemunggahan barang dari kenderaan tersebut,
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati tiada barang terlarang ditemui,” katanya.
Tambahnya, kesemua suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu untuk siasatan lanjut.
“Pasukan operasi turut merampas sebuah 4WD bersama 5 unit telefon bimbit dengan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM98,350,” jelasnya.
Tegasnya, TDM akan terus kekal siaga dan komited mengawal keselamatan serta memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.
“Ini terutama dalam memastikan tiada sebarang pencerobohan PATI mahupun sebarang bentuk jenayah rentas sempadan berlaku yang berisiko menyumbang kepada penularan wabak COVID-19,” jelas 1 Div. -airtimes.my