Home Pertahanan dan Keselamatan 10 PATI Indonesia sembunyi dalam kandang kambing dicekup

10 PATI Indonesia sembunyi dalam kandang kambing dicekup

by Nurulhuda

TAWAU, 15 Feb – Tindakan 10 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang menyusup masuk dengan bersembunyi di sebuah kandang kambing gagal, apabila ditahan oleh anggota Tim Quick Reaction Force (QRF) Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2), hari ini.

ATB 2 dalam kenyataan berkata, kesemua PATI tersebut yang menaiki 2 buah bot laju berjaya dikesan anggota bertugas yang sedang menjalankan Opserasi Benteng Bersama di kawasan berkenaan.

Menurutnya, bot laju tersebut dikesan bergerak dari arah Pulau Sebatik, Indonesia menuju ke kawasan jeti pemunggahan balak, berhampiran Kampung Kurnia Jaya, sebelum bersembunyi di kawasan tersebut.

“Tim QRF telah melaksanakan pencarian dan berjaya mengesan kedudukan PATI yang sedang bersembunyi di kandang kambing bagi mengelak dari dikesan oleh Tim QRF,

“Manakala 2 buah bot laju yang membawa kesemua PATI tersebut dipercayai telah berpatah balik ke sempadan perairan negara selepas berjaya menurunkan kesemua PATI,

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua PATI merupakan warganegara Indonesia yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah cuba memasuki Malaysia secara haram melalui perairan Tawau,

“Mereka terdiri daripada 8 lelaki dewasa berusia antara 19 hingga 51 tahun, dan 2 wanita dewasa berusia 33 dan 45 tahun serta tiada penemuan barang-barang terlarang,

“Tim QRF telah melaporkan kejadian tersebut kepada Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) berpusat di MK ATB 2 untuk diambil tindakan lanjut,” tambahnya.

Kesemua PATI memaklumkan bahawa mereka berasal dari Pulau Sebatik, Indonesia dan masuk ke Malaysia untuk bekerja.

Semua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bagi tujuan soal siasat, laporan polis dan proses saringan COVID-19 serta tindakan selanjutnya.

Manakala, kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 jika sabit kesalahan iaitu tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!