BUKIT KAYU HITAM, 14 Feb – Hasrat 20 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar untuk menyusup masuk ke negara secara haram gagal, apabila ditahan oleh anggota tentera dalam Operasi Benteng (Op Benteng) di sempadan Malaysia-Thailand, pada Ahad.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div) dalam kenyataan berkata, kesemua PATI tersebut ditahan oleh anggota ronda dalam keadaan meniarap ketika cuba melintas pagar sempadan negara di Felda Bukit Tangga.
“Tim ronda terus membuat serbuan di lokasi kumpulan tersebut dan menahan serta melakukan pemeriksaan kepada setiap individu,
“Hasil pemeriksaan mendapati 20 orang awam tersebut tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri dan disyaki sebagai PATI warganegara Myanmar yang berusia dalam lingkungan umur antara 15 hingga 55 tahun yang terdiri daripada 17 lelaki serta 3 perempuan,” jelas kenyataan itu.
Markas 2 Div menjelaskan, kesemua PATI telah telah dibawa ke Pos 5 untuk siasatan awal.
Turut dirampas pelbagai barangan peribadi, telefon bimbit dan matawang Myanmar, Thailand serta Malaysia dengan anggaran nilai keseluruhan RM6,801.00.
Laporan polis dibuat di Balai Polis Bukit Kayu Hitam manakala kesemua PATI diserahkan ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Anak Bukit, Alor Setar untuk tindakan selanjutnya.
Dalam masa yang sama, 2 Div menjelaskan, pihaknya sentiasa meningkatkan lagi kesiagaan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melakukan jenayah serta membolosi sempadan negara.-airtimes.my