KUALA LUMPUR, 13 Feb – Kerajaan akan menyalurkan pembayaran saguhati sebagai tanda keprihatinannya kepada jemaah umrah yang terpaksa membatalkan pemergian ke Tanah Suci akibat penularan jangkitan virus Omicron bermula 8 Januari yang lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berdasarkan mesyuarat terkini yang telah diadakan di antara pihaknya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Kewangan Malaysia dan Tabung Haji (TH), pembayaran saguhati hanya dikreditkan menggunakan akaun simpanan TH para jemaah umrah bagi memudahkan urusan.
Beliau menjelaskan, MOTAC telah menyerahkan sebanyak 8,027 senarai nama jemaah umrah yang terkesan dan layak menerima saguhati kepada TH.
“Daripada jumlah tersebut, pihak TH mendapati seramai hampir 1,000 jemaah umrah masih belum mempunyai akaun simpanan TH,
“Pengkreditan terus saguhati sebanyak RM1,671 seorang ke dalam akaun simpanan TH akan dibuat pada hari Jumaat, 18 Februari 2022,
“Oleh kerana kaedah bayaran adalah melalui akaun simpanan TH, maka saya menyeru semua jemaah umrah yang masih belum mempunyai akaun simpanan TH diminta untuk membuka akaun TH sebelum 18 Februari 2022,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Idris turut menambah, para jemaah umrah boleh melayari www.thijari.com.my untuk membuka akaun simpanan TH secara dalam talian dan hadir ke kaunter TH yang terdekat bagi proses pengaktifan akaun secara biometrik.
Tambanya, bagi mereka yang mempunyai kesukaran untuk mendaftar secara atas talian, boleh terus ke cawangan TH terdekat untuk tujuan pendaftaran dan akan dibantu sebaiknya oleh semua kakitangan di cawangan-cawangan TH.
“Para jemaah yang terkesan akan dilayan dengan serta merta tanpa perlu beratur dan menunggu lama,
“Saya juga telah memaklumkan kepada pihak TH supaya segala tuntutan pembayaran ini akan dipermudahkan semaksimum supaya tidak berlaku kesulitan yang besar terhadap tuntutan ini. Semoga semua urusan para penerima dipermudahkan oleh Allah SWT,” jelasnya. -airtimes.my