Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan 3 bot, 3 tongkang dan 16 kru guna lesen tamat tempoh

APMM tahan 3 bot, 3 tongkang dan 16 kru guna lesen tamat tempoh

by Nurulhuda

BINTULU, 13 Feb – Sebanyak 3 buah bot tunda, 3 tongkang dan 16 kru ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Bintulu kerana disyaki melakukan aktiviti pemindahan barangan bercukai di laut menggunakan dokumen kebenaran yang telah tamat tempoh, kelmarin.

Pengarah APMM Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, bot tunda dan tongkang itu ditahan sekitar jam 7 malam pada jarak lebih kurang 3.5 batu nautika dari muara Sungai Kemena.

Beliau berkata, tangkapan dilakukan oleh Kapal APMM (KM) Renggis semasa melaksanakan Operasi Permai di sekitar perairan Bintulu.

“Ssemasa melaksanakan Operasi Permai di sekitar perairan Bintulu, KM Renggis telah mengesan 3 bot tunda beserta 3 tongkang yang sedang memindahkan muatan barangan bercukai, disyaki kayu balak daripada sebuah kapal yang berpangkalan dari Papua New Guinea di lokasi tersebut,

“Hasil pemeriksaan dan geledah mendapati kesemua bot tunda serta tongkang tersebut telah melakukan aktiviti pemindahan barangan bercukai di laut menggunakan dokumen kebenaran yang telah tamat tempoh dan turut gagal mengemukakan “Domestic Shipping Licence” (DSL) semasa pemeriksaan,” jelas APMM.

Mohd Khairol berkata, kesemua 16 kru ditahan termasuk 3 nakhoda, berumur dalam lingkungan 21 hingga 55 tahun terdiri dari 11 lelaki warga tempatan, 2 lelaki warga Indonesia dan 3 lelaki warga India, mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap semasa diperiksa.

“Manakala muatan yang disyaki kayu balak dianggarkan lebih kurang 680 batang juga didapati telah dipindahkan ke atas tongkang tersebut,

“Kesemua 16 kru, 3 bot tunda beserta 3 tongkang ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambahnya, kes akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967 yang memperuntukan hukuman penjara tidak melebihi 5 tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM100 ribu atau kedua-duanya jika disabitkan bersalah.

Pada masa yang sama, Mohd Khairol mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut dan amat mengalu-alukan maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada pasukan keselamatan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!