Home Semasa Kes kematian dalam tahanan disiasat secara teliti – Polis

Kes kematian dalam tahanan disiasat secara teliti – Polis

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 12 Feb – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius setiap kes kematian dalam tahanan dan mengambil tindakan komprehensif bagi memastikan setiap kes disiasat secara teliti menurut Kanun Tatacara Jenayah dan Arahan Amalan Bilangan (2) Tahun 2019.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Azri Ahmad berkata, PDRM akan memajukan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi memastikan segala aspek siasatan dilengkapkan dengan mematuhi segala prosedur siasatan.

“Dalam konteks ini, amalan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya adalah bagi mendapatkan nasihat lanjut dan pandangan berhubung prosedur siasatan,

“Amalan ini bagi memastikan semua peruntukan undang-undang telah dipatuhi dan siasatan adalah lengkap,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Azri menjelaskan, kertas siasatan yang lengkap akan dimajukan dengan kadar segera kepada Mahkamah Koroner untuk tindakan lanjut.

Pada Rabu lepas, PDRM mengesahkan terdapat 7 kes kematian Orang Kena Tahan (OKT) dengan hanya satu kes melibatkan unsur jenayah.

Sebanyak 4 daripada 7 kes yang dilaporkan itu, merupakan kematian dalam lokap dan 2 lagi kes meninggal dunia di hospital manakala satu kes melibatkan kematian ketika OKT dalam perjalanan ke hospital. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!