KUALA LUMPUR, 12 Feb – Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia hari ini mencecah lebih 3 juta iaitu 3,019,163 kes dengan pertambahan sebanyak 22,802 jangkitan dalam tempoh 24 jam.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan jangkitan baru yang dilaporkan hari ini adalah yang tertinggi dalam tempoh 170 hari, iaitu sejak 26 Ogos lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, sebahagian besar kes masih melibatkan pesakit kategori 1 dan 2 iaitu 99.54 peratus atau 22,698 kes.
“Sebanyak 82 kes iaitu 0.36 peratus dalam ketegori 3, manakala 14 kes (0.05%) ketegori 4 dan 8 kes (0.04%) pula dalam ketegori 5,” jelas Dr Noor Hisham dalam hantaran di media sosialnya pada Sabtu.
Semalam, negara merekodkan sebanyak 20,939 kes dan ia sekaligus mencatatkan jumlah keseluruh wabak berkenaan 2,996,361 kes.
“Selangor mencatatkan sebanyak 4,291 kes postif baharu diikuti, Sabah (3,361); Johor (2,860); Kedah (1,623); Kelantan (1,589); Pulau Pinang (1,490); Negeri Sembilan (1,235); Kuala Lumpur (1,095) dan Pahang (1,008),
“Manakala, Melaka mencatakan sebanyak 988 kes, Perak (443); Terengganu (293); Sarawak (214); Putrajaya (190); Labuan (132) dan Perlis (127) kes semalam,” ujarnya. – airtimes.my