Home Pertahanan dan Keselamatan 88 PATI Indonesia cuba bolos sempadan negara dicekup

88 PATI Indonesia cuba bolos sempadan negara dicekup

by Nurulhuda

KUALA SELANGOR, 11 Feb – Seramai 88 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan bersama seorang tekong dan 2 pembantu dalam Operasi Pintas oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di perairan Tanjung Karang, semalam.

Ketua Penolong Pengarah D3 ATIPSOM, JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, operasi tersebut dijalankan pegawai dan anggota Bahagian (D3) Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), JSJ Bukit Aman bersama Unit Risik dan Bot Ronda Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Pelabuhan Klang.

Beliau menjelaskan, warga asing terbabit menaiki sebuah bot kayu jenis pom-pom dan mereka ditahan di kedudukan 0.9 batu dari persisiran pantai Sungai Serdang di Klang Utara.

“Tangkapan membabitkan 68 lelaki dan 20 wanita warga Indonesia. Tekong serta 2 pembantunya masing-masing berumur 42 hingga 45 tahun,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Fadil berkata, tekong berkenaan aktif menyeludup keluar dan masuk migran ke Malaysia 3 tiga bulan lalu menggunakan jalan laut yang tidak diwartakan.

“Hasil soal siasat awal terhadap migran, bayaran yang dikenakan untuk masuk ke Malaysia adalah 4 hingga 5 juta rupiah (RM1,200 hingga RM1,500) yang dibayar kepada ejen di Tanjung Balai, Indonesia,” tambahnya.

Menurutnya, kesemua migran adalah warganegara Indonesia yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai baru masuk ke Malaysia.

Tambah Fadil, pihaknya turut merampas sebuah bot kayu jenis pom-pom, sebuah enjin bot dan 3 buah telefon bimbit.

“Kesemua tangkapan, PATI serta rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara untuk tindakan lanjut,

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Atipsom 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” jelas beliau. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!