Home Semasa PRN Johor 12 Mac ini

PRN Johor 12 Mac ini

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 9 Feb – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon diadakan pada 26 Februari dan tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac 2022.

Pengumuman tersebut dibuat pada sidang media selepas Abdul Gahani mempengerusikan mesyuarat khas SPR berhubung pilihan raya negeri itu, hari ini.

Beliau menjelaskan, mengikut data SPR, seramai 2.576 juta pengundi biasa daripada keseluruhan 2.599 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN Johor nanti.

Jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus berbanding hanya 1.8 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi18.

Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN) bagi memberi laluan kepada PRN untuk diadakan.

Kemudian, pada hari yang sama, Menteri Besar Johor Hasni Mohammad berkata, PRN perlu dilakukan agar pentadbiran mempunyai mandat lebih besar, berbanding kelebihan satu kerusi sebelum ini.

Kerajaan Johor sebelum ini memiliki majoriti 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian ahli dewan undangan negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga mantan Menteri Besar, pada 21 Disember lalu. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!