MARAKAH, 9 Feb – Pasukan Pengaman Batalion Malaysia (MALBATT) 850-9 telah melaksanakan Latihan Aero Medical Evacuation Team (AMET) untuk menguji kecekapan dan kesiapsiagaan Tim Perubatan MALBATT 850-9 dengan melakukan pemindahan pesakit menggunakan helikopter UNIFIL.
Markas Angkatan Bersama (MK AB) dalam hantaran di media sosialnya berkata, latihan ini dilaksanakan dengan kerjasama UNIFIL AMET Team dan Elemen Perubatan MALBATT 850-9 di Helipad UNP 2-1, Kem Marakah pada Isnin lalu.
Menurutnya, latihan ini melibatkan penggunaan helikopter yang berlepas dari Naqoura dan Tim Perubatan Hospital Level 1, MALBATT 850-9 dengan melaksanakan Medical Evacuation (MEDEVAC) untuk membawa pesakit mendapatkan rawatan di Hospital Naqoura.
“Pelaksanaan latihan ini memberi peluang untuk Tim Medevac Malbatt 850-9 dalam pengendalian pesakit yang memerlukan pemindahan dari ambulan ke pesawat,
“Selain itu, peralatan perubatan dapat diuji dan digunakan secara maksima bagi menghadapi situasi pemindahan kasualti jika berlaku keadaan sebenar,
“Latihan ini turut menguji kesiagaan pasukan bomba dan komunikasi yang sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” jelas kenyataan itu.
Dalam masa yang sama, tegasnya, latihan ini juga sejajar dengan Tonggak Pertama Komander MALBATT 850-9 iaitu, keberkesanan misi dan kesiapsiagaan.
Tambahnya, teras ini berorientasikan pengukuhan polisi dan dasar untuk beroperasi berpandukan mandat yang telah digariskan pada masa yang sama perlu merencana perancangan dalam meningkatkan keupayaan tahap kesiagaan dari sudut ‘𝘮𝘢𝘯𝘱𝘰𝘸𝘦𝘳’ dan ‘𝘦𝘲𝘶𝘪𝘱𝘮𝘦𝘯𝘵’. -airtimes.my