Home Pertahanan dan Keselamatan ATM, Petronas teruskan kerjasama latihan pendaratan helikopter di pelantar minyak

ATM, Petronas teruskan kerjasama latihan pendaratan helikopter di pelantar minyak

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 9 Feb – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Petronas mengukuhkan kerjasama dengan meneruskan latihan Helideck Landing Training On Offshore Facilities (HLTOF) bagi meningkatkan keupayaan memantau serta mengawal keselamatan perairan negara.

Majlis menandatangani terma rujukan HLTOF telah disempurnakan di antara Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zakaria Yadi dan Pengurus Kanan Tadbir Urus Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran, Pengurusan Petroleum Malaysia, Azrul Abdul Hamid di Wisma Perwira ATM, semalam.

Markas ATM melalui hantaran di media sosialnya berkata, ianya merupakan kerjasama dari aspek pelaksanaan latihan pendaratan helikopter di pelantar minyak milik Petronas.

“Kebolehoperasian helikopter ATM dalam melaksanakan latihan pendaratan di pelantar minyak berkenaan dapat meningkatkan keupayaan dalam operasi Medevac, Casevac, Search and Rescue serta Maritime Air Surveillance,

“Pada tahun 2013, pihak Petronas telah bersetuju dan membenarkan pesawat ATM serta APMM untuk melaksanakan latihan pendaratan di atas Pelantar Minyak Siwa yang berstatus Mothball,

“Latihan pendaratan tersebut telah dilaksanakan pada 2014 dan berakhir pada 2016,” kata hantaran itu.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Carigali Sdn Bhd sewaktu kunjungan hormatnya ke atas Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan pada 2021 telah mencadangkan agar latihan pendaratan tersebut disambung semula.

“Lanjutan daripada cadangan tersebut, ATM telah diberikan mandat untuk menyemak dan menambah baik terma rujukan latihan bersama Petronas,” jelasnya.

Turut hadir Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan, Leftenan Jeneral Datuk Hashim Aman Shah, pegawai kanan ATM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kementerian Pertahanan serta Petronas. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!