Home Pertahanan dan Keselamatan ESSCOM pertingkat kerjasama operasi, kawalan di ESSZONE

ESSCOM pertingkat kerjasama operasi, kawalan di ESSZONE

by Nurulhuda

LAHAD DATU, 8 Feb – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan mengukuhkan operasi dan kawalan keselamatan yang lebih efektif melalui kerjasama strategik antara agensi di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Menurut satu kenyataan, ESSCOM berkata, tindakan itu adalah sebagai usaha untuk meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap tahap keselamatan di Sabah.

Perkara itu adalah antara intipati perbincangan ketika sesi kunjungan hormat terhadap Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Hamzah Ahmad oleh Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah; Komander Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2), Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad dan Panglima 13 Briged Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Suhaimi Shamsudin di pejabat ESSCOM Lahad Datu, pada Isnin.

“Selain daripada mengeratkan hubungan sesama agensi, sesi perbincangan ini meliputi perancangan dalam aspek atur gerak operasi dan logistik serta perkongsian idea bagi meningkatkan keupayaan semua agensi keselamatan yang beroperasi di pantai timur Sabah,

“Di samping itu, cadangan pelaksanaan operasi gabungan dan latihan bersama melibatkan pasukan khas antara agensi dalam kawasan ESSZONE turut dibincangkan,” jelas ESSCOM.

Terdahulu, delegasi diberikan taklimat perisikan berhubung perkembangan situasi keselamatan pantai timur Sabah.

Hadir sama dalam sesi kunjungan hormat itu adalah Ketua-Ketua Staf ESSCOM dan pegawai-pegawai kanan APMM, ATB2 dan Markas 13 Briged. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply