Home PolitikPAS /PPBM / LAIN PRN Johor: Pejuang bertanding kerana tidak mahu kumpulan rasuah dapat kuasa – Tun M

PRN Johor: Pejuang bertanding kerana tidak mahu kumpulan rasuah dapat kuasa – Tun M

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Penglibatan Parti Pejuang TanahAir (Pejuang) di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah kerana tidak mahu kumpulan yang tidak amanah, rasuah dan mencuri harta rakyat mendapat kuasa.

Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Pejuang bertanding juga disebabkan tidak mahu kumpulan tersebut terus melakukan perbuatan yang merosakkan bangsa, agama dan negara.

“Kuasa itu bukan untuk meraih kekayaan diri dan memuas nafsu duniawi. Ia untuk melepas negeri dari cengkaman mereka yang sedemikian,

“Kerana itu perjuangan ini menjadi satu tanggungjawab, satu amanah yang perlu dipikul oleh setiap daripada kita yang mempunyai kesedaran,” kata Tun Mahathir dalam surat yang ditujukan kepada ahli-ahli Parti Pejuang TanahAir, hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu juga berkata, Pejuang ditubuhkan oleh mereka yang sanggup melepaskan jawatan dan kedudukan kerana prinsip perjuangan.

“Pejuang juga berbeza kerana ia terdiri dari mereka yang tidak sanggup bersekongkol dengan pengkhianat dan kleptokrat,

“Saudara dan saudari di Johor seharusnya merasa bangga kerana dipimpin oleh Datuk Dr Shahruddin Md Salleh yang sanggup melepaskan jawatan dan kedudukan kerana tidak mahu bersekongkol dengan pengkhianat dan kleptokrat,

“Dr Shahruddin berdiri sebagai bukti bahawa pejuang-pejuang kita tidak meletak kepentingan diri sebagai objektif perjuangan,” ujarnya.

Menurutnya, kita sedar laluan yang diambil bukanlah mudah kerana perjuangan lahir dari jalan-jalan yang berliku penuh dengan onak dan duri.

“Keberanian menghadapi cabaran, yakin bahawa perjuangan kita suci dan ikhlas mempertahan agama, bangsa dan tanah air itu satu tanggungjawab, satu amanah dan juga satu ibadah, InsyaAllah kita tidak akan tergelincir dari landasan kebenaran,

“Saya yakin saudara-saudari akan sentiasa teguh memegang amanah dan tanggungjawab ini,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Tun Mahathir menzahirkan rasa terkilan kerana buat masa ini tidak dapat bersama ahli-ahli Pejuang dalam menghadapi PRN Johor berikutan masalah kesihatan.

“Namun begitu percayalah, semangat dan jiwa saya mengiringi saudara dan saudari di dalam setiap langkah yang diambil,

“Saya sedar ramai yang berkata mengapa perlu saya ambil peduli dengan soal-soal duniawi dan seharusnya menumpu kepada perkara-perkara akhirat dan ibadah,

“Bagi saya perjuangan untuk negara tidak pernah ada nokhtah seperti juga melaksana ibadah yang perlu,” jelasnya lagi.

Katanya, perjuangan satu ibadah malahan satu amanah yang perlu kita pikul selagi hayat dikandung badan, namun itu hak masing-masing yang penting niat dan tujuan kita melakukan sesuatu. – airtimes.my

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!