TAWAU, 5 Feb – ESSCOM dan Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) berjaya menggagalkan cubaan 6 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ceroboh masuk ke negara di pantai Kampung Kurnia Jaya Batu 4, tengah malam tadi.
Komander ATB 2, Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, bertindak atas maklumat risikan Tim Operasi Cegah Pati (OCP) telah mengesan sebuah bot laju yang dipercayai membawa 6 orang PATI sedang mendarat.
“Tim OCP bertindak menyerbu bot tersebut, walau bagaimanapun tekong tersebut telah bertindak melarikan diri bersama bot,
“Tim OCP telah berjaya membuat penangkapan terhadap 6 orang PATI yang berasal dari kepulauan Sulawesi, Indonesia bersama seorang agen darat warga Filipina yang diupah untuk membawa kesemua PATI,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan awal mendapati agen yang berusia 19 tahun tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
Manakala pemeriksaan lanjut dilakukan terhadap 6 PATI Indonesia juga tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kesemua PATI terdiri daripada 3 lelaki dewasa berusia antara 23 hingga 46 tahun, seorang wanita dewasa berusia antara 45 tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun bersama barang persendirian,
“Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.
Menurutnya lagi, kesemua PATI diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Tawau bagi tujuan soal siasat dan laporan polis serta proses saringan COVID-19 serta tindakan selanjutnya. – airtimes.my