Home Pertahanan dan Keselamatan Cadangan hukuman sebat terhadap PATI adalah tidak berperikemanusiaan – Teresa Kok

Cadangan hukuman sebat terhadap PATI adalah tidak berperikemanusiaan – Teresa Kok

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 3 Feb – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok hari ini mengesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) untuk memberi latihan dan kesedaran kepada pihak polis serta penguat kuasa berhubung hak asasi manusia.

Menurut beliau, ini bagi memastikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasaan lain mematuhi standard hak asasi kemanusiaan di peringkat antarabangsa.

Teresa mengulas kenyataan oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berhubung kesediaan PDRM mengenakan hukuman sebat terhadap Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang didapati mengulangi kesalahan memasuki negara ini secara tidak sah.

“Saya membaca laporan mengenai cadangan Hazani Ghazali dengan rasa bimbang berhubung hukuman sebat terhadap migran tanpa dokumen yang telah ditangkap berulang kali memasuki negara,

“Saya tertanya-tanya sama ada cadangan hukuman sebat itu akan melibatkan pegawai penguat kuasa yang gagal dalam tugas mereka menghalang pendatang tanpa izin daripada masuk ke Malaysia serta penjawat awam yang membantu dan bersubahat dalam penyeludupan migran haram,” kata Teresa dalam satu hantaran di akaun media sosial rasminya.

Beliau menegaskan hukuman sebat merupakan satu tindakan kejam dan merendahkan maruah manusia di mata masyarakat antarabangsa.

“Ramai pekerja migran tanpa dokumen yang menyelinap masuk ke Malaysia adalah terdiri daripada golongan miskin dari negara jiran yang mahu mencari pekerjaan di sini.

“Cadangan sebegini hanya akan menjejaskan hubungan negara dengan jiran kita,” katanya.

Teresa turut mengingatkan Hazani bahawa terdapat rakyat negara ini tinggal lebih masa di negara luar semata-mata untuk mencari pekerjaan.

“Apakah perasaan beliau jika hukuman sebat dikenakan kepada rakyat Malaysia yang dalam situasi sama di luar negara?” ujarnya.

Seksyen 6(3) Akta Imigresen menyatakan memperuntukkan individu yang didapati memasuki negara ini didenda tidak lebih daripada RM10,000.00 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Dibawah peruntukan yang sama, pesalah boleh dikenakan tidak lebih daripada 6 kali sebatan.

“Saya gesa SUHAKAM untuk memberikan kursus latihan hak asasi kemanusiaan kepada pegawai agensi penguatkuasaan termasuk polis dan imigresen,

“Ini bagi memastikan mereka mematuhi standard hak asasi kemanusiaan antarabangsa ketika melakukan tugas,

“Selain daripada itu, ia mengelakkan anggota penguat kuasa dari membuat kenyataan yang sempit,” katanya.

emalam, media tempatan memetik kenyataan Hazani yang menyatakan PDRM sedia kemuka cadangan kepada kerajaan untuk mengenakan hukuman sebat kepada PATI yang ditangkap secara berulang ke negara ini.

Menurut beliau, hukuman itu sebagai salah satu bentuk pengajaran kepada golongan berkenaan supaya tidak mengulangi kesilapan tersebut. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!