Home Politik PRN Johor: Kerajaan, SPR diminta bantu 200 ribu rakyat Johor di Singapura

PRN Johor: Kerajaan, SPR diminta bantu 200 ribu rakyat Johor di Singapura

by Bernama

JOHOR BAHRU, 31 Jan – Kerajaan Persekutuan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta menjadi pemudah cara untuk membantu kira-kira 200,000 rakyat Johor yang bekerja di Singapura agar dapat mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata setiap rakyat berhak mengundi dan kerajaan perlu memperkuat proses demokrasi seadil dan sebaik mungkin dengan mencari jalan walau menghadapi sekatan prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata antara perkara yang mungkin boleh dipertimbangkan adalah dengan menggunakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) khas atau membuka pusat mengundi di republik berkenaan.

“Sebagai contoh perlu ada VTL khas untuk rakyat Malaysia pulang mengundi atau kita boleh buka pusat mengundi di Singapura.

Undi pos ini perlu kemampuan menguruskannya, manakala sekiranya pusat mengundi dibuka di Singapura, proses membawa peti undi ke negara perlu dilakukan secara telus dan sekali gus mengelakkan timbul pertikaian,” katanya pada sidang media di Pejabat PKR Johor, di sini hari ini.

Mengulas mengenai pencalonan AMK dalam PRN Johor, Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, sekurang-kurangnya enam nama calon dalam kalangan AMK akan dikemukakan kepada pucuk pimpinan parti.

Beliau berkata pihaknya juga telah mengenal pasti kerusi-kerusi yang wajar diletakkan calon AMK sama ada di kawasan bandar atau luar bandar, malah mereka juga bersedia diberikan tanggungjawab bertanding di kerusi yang mungkin agak sukar dan bukan kerusi yang tradisinya boleh dimenangi PKR.

Akmal Nasrullah berkata pada masa sama AMK akan memberikan fokus dari segi persiapan menghadapi PRN dan akan berusaha membawa isu-isu anak muda untuk diangkat dalam PRN.

“Hasil perbincangan kita merasakan bahawa fokus utama adalah soal kehidupan rakyat dan antara perkara paling besar ketika ini adalah soal harga barang,” katanya.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan SPR seramai 2.576 juta pengundi biasa daripada keseluruhan 2.599 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.

Jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus dengan penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi18. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!