JOHOR BAHRU, 30 Jan – Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini menegaskan keputusan PAS untuk bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Johor merupakan satu keputusan yang telah dijangka.
Beliau menyatakan perkara tersebut selepas menghadiri pertemuan dengan Majlis Tertinggi MMSP (Makkal Sakti) Kebangsaan dan Dan Badan Perhubungan Negeri Johor.
Ahmad Maslan menambah, itu adalah keputusan yang diambil oleh PAS.
“Ia bukan sesuatu yang memeranjatkan,” katanya.
Menurut beliau, keputusan PAS dan Bersatu untuk bersama dibawah gabungan Perikatan Nasional dalam PRN Johor adalah sama seperti perkara yang berlaku di Melaka.
Jelasnya, UMNO telah bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan dalam politik.
“Dalam dinamika politik, kita memang bersedia untuk hadapi sebarang kemungkinan. Seperti sebelum ini, kita dah nyatakan perkara yang sama dan kita hadapi juga,
“Ini tidak bermakna kami terlalu yakin. Kami perlu gigih berusaha untuk melakukan strategi dan merancang untuk mendekati pengundi-pengundi di Johor,” ujar beliau.
Mengulas PRN Johor, Ahmad Maslan menyatakan Barisan Nasional belum memuktamadkan pengagihan kerusi di antara parti komponen.
“Walaupun Melaka bukan Johor, kita bawa semangat kemenangan PRN Melaka ke PRN Johor,” tegasnya.
Dalam pada itu, Ahmad Maslan menyatakan Barisan Nasional menzahirkan penghargaan kepada Makkal Sakti sebagai rakan semasa senang dan semasa kepada parti.
Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan PAS dan Bersatu akan bersama sebagai satu pasukan dalam menghadapi PRN Johor.
Perkara tersebut merupakan salah satu resolusi yang dicapai antara kedua-dua pihak dalam Muzakarah PAS-Bersatu yang berlangsung selama 2 hari. – airtimes.my