Home Pertahanan dan Keselamatan Sorok dalam garaj kereta semata-mata nak memasuki Malaysia secara haram

Sorok dalam garaj kereta semata-mata nak memasuki Malaysia secara haram

by M.Daim

TAWAU, 29 Jan – Usaha 5 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Indonesia bersembunyi dalam garaj kereta bagi mengelak ditahan ternyata gagal apabila mereka berjaya ditangkap oleh anggota tentera.

Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB) dalam satu kenyataan berkata, kelima-lima PATI terbabit didapati cuba menyusup masuk ke Sabah secara tidak sah.

Tangkapan dilakukan oleh Tim Quick Reaction Force (QRF) di bawah Op BENTENG BERSAMA.

“Kejayaan ini adalah hasil dari pengesanan awal menerusi Radar CSS (Coastal Surveillance Station) yang dikendalikan oleh MK ATB 2 yang telah berjaya mengesan tiga buah bot dari luar sempadan perairan Malaysia memasuki perairan negara pada jam 4.50 pagi tadi,

“Tim QRF yang sedang meronda diaturgerakan ke lokasi kejadian untuk melakukan pemeriksaan dan berjaya menahan lima PATI yang sedang bersembunyi di dalam garaj kereta,

“Sebuah bot yang membawa kesemua PATI tersebut dipercayai telah berpatah balik ke sempadan perairan negara selepas berjaya menurunkan kesemua PATI ke daratan di Kampung Kurnia Jaya,

“2 buah bot lagi gagal dikesan dan dipercayai berpatah balik menuju keluar sempadan perairan Malaysia,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua warganegara Indonesia terbabit tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah ketika cuba memasuki negara.

“Mereka terdiri daripada tiga lelaki berusia 24 hingga 27 tahun, seorang wanita berusia 26 tahun dan
seorang bayi perempuan berusia 1 tahun yang ditemui bersama barang persendirian,” katanya.

Siasatan awal mendapati mereka datang dari Pulau Sebatik dengan menaiki bot yang telah disediakan oleh ejen.

Semua PATI yang ditahan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Komander ATB2 Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, ini merupakan tangkapan ke-4 yang dilakukan oleh pasukan itu pada bulan ini.

“Kejayaan ini membuktikan ATB 2 sentiasa komited dan berada pada kesiapsiagaan operasi yang tertinggi dalam memperkasa serta memperkemaskan kawalan keselamatan persempadanan negara,

“Sempadan negara sentiasa dikawal serta ditangani secara serius bagi menghindar sebarang ancaman keselamatan demi menjaga kedaulatan dan keselamatan negara, khasnya di Pantai Timur Sabah,” ujar beliau. – airtimes.my

Galeri gambar:

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!