Home Semasa Gelombang Omicron telah bermula di Malaysia – Khairy

Gelombang Omicron telah bermula di Malaysia – Khairy

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Jan – Gelombang varian Omicron telah bermula di Malaysia dan dijangka akan meningkatkan kes jangkitan COVID-19 di negara ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, keadaan itu bagaimanapun mampu dikawal dengan kadar vaksinasi yang tinggi.

“Gelombang Omicron bermula di Malaysia. Kes akan meningkat namun Insya’Allah terkawal dengan kadar vaksinasi yang tinggi,

Sistem kesihatan sudah bersiap siaga. Kes serius semakin kurang. Sama-Sama kita mengatasi gelombang ini,” katanya menerusi ciapan di akaun Twitter pada Rabu.

Setakat 25 Januari lalu secara keseluruhan negara ini sudah mengesan 601 kes COVID-19 yang ada kaitan dengan varian Omicron. Daripada jumlah itu, 90 peratus atau 545 kes adalah merupakan kes import.

Manakala, 56 kes pula merupakan penularan tempatan dengan 34 daripadanya dilaporkan di Sarawak dan 12 di Selangor.

Kes penularan tempatan juga dilaporkan di Kedah, Labuan dengan masing-masing 4 kes serta 2 kes lagi dilaporkan di Sabah.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi catatan di laman Facebook memaklumkan kesiapsiagaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut meliputi pelaksanaan langkah-langkah kesihatan awam dan liputan ujian kendiri berkala.

“Diharapkan (langkah ini) dapat mengurangkan keparahan kes dan kemasukan ke hospital. Kes akan meningkat dan kita bersama dapat mengurangkan kesan peningkatan serta keparahan jangkitan terutama kepada golongan rentan,

“Sistem kesihatan awam dan swasta sudah bersiap siaga. Sama-samalah kita mengatasi gelombang ini,” jelas Dr Noor Hisham. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!