SERDANG, 26 Jan – Kerja pengukuhan tebing akibat mendapan tanah di Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana, dilaksana serta-merta oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), malam tadi.
Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Azfarizal Abdul Rashid berkata, pihaknya sedang mengenal pasti punca runtuhan selain merangka pembaikan segera bagi mengelak insiden sama berulang.
“Pasukan Pantas MBSJ bersama agensi keselamatan lain memantau lokasi runtuhan tebing longkang utama di Jalan LP1A Lestari Perdana Bandar Putra Permai, Seri Kembangan pada Selasa,
“Tebing runtuh sepanjang 90 meter dengan ketinggian sembilan meter melibatkan parkir kereta dan sebahagian jalan. 5 kenderaan terkesan tetapi tiada kemalangan jiwa,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, sebanyak 17 premis komersial turut diarah menghentikan operasi sementara waktu selain tidak berada di lokasi runtuhan sehingga disahkan selamat.
Menurutnya, arahan itu dikeluarkan Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.Anbalagan atas nasihat Jabatan Kejuruteraan MBSJ dan bomba.
“Pemilik premis juga diminta tidak berada berhampiran kawasan sehingga keadaan disahkan selamat,
“Kenderaan yang diparkir di kawasan tersebut juga diminta untuk dialihkan segera ke tempat lebih selamat,” jelasnya.
Petang semalam, sebanyak 5 buah kenderaan yang diletakkan di hadapan bengkel kereta di Lestari Perdana terjunam 5 hingga 6 meter dalam longkang besar susulan mendapan tanah. -airtimes.my