KOTA TINGGI, 26 Jan – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah menahan 4 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) di pinggir hutan Bukit Sedili Kecil, pagi tadi.
Sel Perhubungan Raya, Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) berkata, penahanan itu adalah hasil dari anggota ronda yang mengesan pergerakan orang yang mencurigakan setelah menerima maklumat dari penduduk kampung.
“Tim Quick Reaction Force (QRF) telah diaturgerakkan ke lokasi kejadian dan seterusnya berjaya menahan 4 orang PATI pada jam 4.30 pagi,
“Kesemua PATI telah diserahkan ke Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang untuk disoal siasat dan proses dokumentasi,” jelasnya kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, kesemua mereka merupakan lelaki warganegara Indonesia berusia sekitar 35 hingga 52 tahun.
“Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kuala Sedeli dan seterusnya diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia, Johor Bahru,
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 12,124.94 melibatkan matawang Malaysia RM 10,534.94 dan 5 buah telefon bimbit pelbagai jenama bernilai RM 1,590.00,” tambahnya.
Tambahnya lagi, Tim QRF dan Tim Dron Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta bantuan dari pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diaturgerak bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan.- airtimes.my