Home Semasa Demonstrasi #TangkapAzamBaki akan diteruskan Sabtu ini – Adam Adli

Demonstrasi #TangkapAzamBaki akan diteruskan Sabtu ini – Adam Adli

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 20 Jan – Aktivis sosial, Adam Adli dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini bagi membantu siasatan berhubung penganjuran Perhimpunan #TangkapAzamBaki.

Adam yang juga ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiba di IPD itu pada jam 2.30 petang sebelum disoal siasat polis selama 30 minit.

Adam berkata, beliau telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis sepanjang diambil sesi keterangan.

“Soal siasat ini berhubung penganjuran perhimpunan (#TangkapAzamBaki ) yang dijadualkan Sabtu ini,

“Saya serahkan siasatan kepada pihak polis. Kita tiada masalah untuk memberikan kerjasama dan ini adalah prosedur biasa setiap kali ada perhimpunan akan dijalankan,” katanya kepada pemberita di IPD Dang Wangi, hari ini.

Aktivis sosial, Adam Adli dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini bagi membantu siasatan berhubung penganjuran Perhimpunan #TangkapAzamBaki pada Sabtu ini. Foto: AirTimes/Azaman

Menurut Adam, perhimpunan tersebut bertujuan mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki meletak jawatan susulan pelbagai isu negatif yang dikaitkan terhadap beliau.

Tambahnya, perhimpunan itu tetap akan diadakan dan beliau yakin ia akan berlangsung secara aman.

“Ia adalah hak rakyat Malaysia untuk bersuara dan berhimpun,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Adam turut menegaskan Malaysia sepatutnya mempunyai seorang ketua yang mempunyai intergriti dalam segala hal.

“Ini bukan soal nak serang seseorang bernama Azam Baki tapi sebenarnya kita mengangkat kepentingan sebuah institusi yang diharapkan menjaga, mencegah dan juga membanteras rasuah dalam negara ini serta korupsi dalam apa juga bentuknya,

“Ketuanya perlu ada integriti,” tegasnya.

Selain itu, peguamnya, Syahredzan Johan, berkata siasatan berkenaan dijalankan mengikut peruntukan Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Kebanyakan soalan adalah berkenaan dengan penganjuran demonstrasi tersebut, namun kita berikan kerjasama penuh kepada pihak polis,

“Cuma apa yang penting adalah siasatan tidak sepatutnya menakutkan sesiapa atau menyebabkan orang ramai tidak mahu datang ke demonstrasi tersebut,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!