Home Pertahanan dan Keselamatan Bot PATI Indonesia karam: 19 selamat, 2 lemas di perairan Teluk Ramunia

Bot PATI Indonesia karam: 19 selamat, 2 lemas di perairan Teluk Ramunia

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 20 Jan – Seperti tidak serik, sebuah lagi bot yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) telah karam di perairan Teluk Ramunia awal pagi tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, bot yang dipercayai membawa 27 PATI warga Indonesia itu bertindak melarikan diri secara agresif dan merbahaya lalu terbalik seterusnya karam di lokasi kejadian.

Beliau berkata, sebelum itu, Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) telah menerima maklumat dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengenai sebuah bot yang disyaki membawa PATI telah karam di kedudukan 0.8 batu nautika Teluk Ramunia pada jam 4.50 pagi.

“Terdahulu, pada jam 3.45 pagi radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) APMM telah mengesan satu sasaran curiga sedang bergerak dari perairan Pulau Bintan, Indonesia menuju ke perairan negara,
“Kemudian, maklumat disalurkan kepada aset TLDM KD SRI INDERA SAKTI yang dalam penugasan Operasi Benteng,

“Berikutan itu aset TLDM telah mengesan sasaran curiga pada jam 4.10 pagi dan bot suspek bertindak melarikan diri secara agresif dan merbahaya lalu terbalik seterusnya karam di lokasi kejadian,” jelasnya dalam kenyataan pada Khamis.

Nurul Hizam menjelaskan, bot tersebut membawa 27 PATI warga Indonesia dan seramai 21 mangsa berjaya ditemui dengan 19 orang selamat terdiri dari 10 wanita serta sembilan lelaki.

“Manakala 2 lagi mangsa wanita ditemui mati. Baki 6 orang mangsa masih hilang di laut,

“Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah mengaktifkan OP CARILAMAT pada jam 6.40 pagi bagi mencari baki mangsa yang hilang” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!