KUALA LUMPUR, 20 Jan – Sebanyak 23 gabungan organisasi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengemukakan Memorandum Rakyat Desak Selamatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengandungi 8 tuntutan termasuk menggantung serta-merta tugas Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Nasir telah menyerahkan memorandum yang bertujuan menyelamatkan SPRM serta mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap usaha melawan rasuah itu kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pagi tadi.
Tuntutan itu dibuat ekoran terdapat percanggahan antara kenyataan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan pengakuan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang melibatkan pemilikan saham dagangannya.
Akmal berkata, pihaknya mendesak supaya kerajaan menggantung serta merta tugas Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menjalankan satu siasatan secara menyeluruh.
“Kami juga menyarankan agar tindakan undang-undang dikenakan kepada Tan Sri Azam Baki termasuk memanggil semua saksi dan meneliti semua dokumen berkaitan,” katanya semasa menyertai himpunan yang dihadiri kira-kira 40 peserta di jalan masuk Bangunan Parlimen hari ini.
Menurutnya, AMK turut mendesak supaya meminda akta SPRM 2009, bagi memperkasa integriti, ketelusan serta proses semak dan imbang yang adil.
“Meletakkan SPRM serta suruhanjaya yang lain seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) di bawah bidang kuasa Parlimen termasuk lantikan Ketua Pesuruhjaya,
“Prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Parlimen perlu dijalankan secara terbuka kepada awam dan keterlibatan secara langsung pihak media,
Selain itu, organisasi itu turut mendesar agar mewajibkan lantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya untuk mengisytiharkan harta kepada umum sebelum pengesahan lantikan diadakan.
“Memperkenalkan Rang Undang-Undang Hidup Melampaui Kemampuan iaitu mana-mana individu perlu membuktikan kekayaan yang diperoleh sebagai langkah mengekang sebarang salah laku,
“Dan kelapan, meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (WPA) 2010 bagi menjamin perlindungan yang lebih baik kepada pemberi maklumat,” jelasnya.
Memorandum tersebut seterusnya akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun di Parlimen.
Turut hadir Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; Maszlee Malik (Simpang Renggam); Fahmi Fadzil (Lembah Pantai); Teresa Kok (Seputeh-PH); Datuk Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya – PH); Fuziah Salleh (Kuantan); Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena) dan P. Prabakaran (Batu).
Antara organisasi yang bersama dalam memorandum berkenaan ialah Angkatan Muda Keadilan (AMK), Pemuda AMANAH Nasional, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Pertubuhan Kebajikan Dan Pembangunan Masyarakat Sabah, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Mahasiswa Roket dan Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya (UM).
Menurut kumpulan berkenaan, 8 tuntutan itu perlu segera dilaksanakan bagi memulihkan integriti negara.
Tambahnya, tuntutan itu juga adalah untuk memastikan SPRM menjadi sebuah institusi yang bebas dan bersih, serta efektif dalam memainkan peranan sebagai institusi terutama untuk membanteras rasuah di negara ini.
“Isu ini sememangnya telah mencalarkan imej dan reputasi SPRM sekaligus menghakis keyakinan rakyat jika Azam sebagai orang nombor satu institusi terpalit dengan skandal penyelewengan dan salah laku,
“Pada masa yang sama, kredibiliti Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) turut dipersoal berikutan kenyataan Pengerusinya, Tan Sri Abu Zahar Ujang yang dilihat cuba membersihkan nama Azam tanpa mengikut prosedur yang betul,” katanya.
Sebelum ini, Azam terpalit dengan isu pemilikan saham dan kepentingan dalam syarikat namun siasatan yang dilakukan Suruhanjaya Sekuriti (SC) tidak dapat membuktikan pelanggaran Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung pemilikan saham menerusi akaun dagangan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu. -airtimes.my