Home Pertahanan dan Keselamatan Tekong lesap, 6 PATI Indonesia ditahan di Tanjung Piai

Tekong lesap, 6 PATI Indonesia ditahan di Tanjung Piai

by Nurulhuda

PONTIAN, 19 Januari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor telah berjaya mematahkan cubaan 6 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba memasuki negara di perairan Tanjung Piai, semalam.

Pengarah APMM Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, bot ronda APMM telah mengesan 2 buah bot dalam keadaan mencurigakan di perairan Tanjung Piai sebelum salah satu bot tersebut bertindak berpatah arah dengan memecut laju menuju ke perairan Indonesia.

Jelasnya, bot ronda APMM diaturgerak menuju ke lokasi dan menemui sebuah bot kayu berwarna biru berserta 6 PATI warga Indonesia.

“Hasil pemeriksaan mendapati 3 lelaki dan 3 wanita berumur di antara 23 tahun hingga 36 tahun dalam bot tersebut,

“Kesemua PATI telah ditahan di kedudukan 3.7 batu nautika barat daya Tanjung Piai pada jam 10.45 malam,” jelasnya dalam kenyataan pada Rabu.

Nurul Hizam menjelaskan, kesemua mereka menaiki bot kayu dari Tanjung Balai, Karimun sekitar jam 7.30 malam untuk memasuki perairan negeri Johor.

“Menyedari kehadiran bot ronda APMM, tekong bot kayu yang membawa kesemua PATI itu telah bertindak melarikan diri terlebih dahulu bersama sebuah bot laju lain lalu memecut ke arah perairan Indonesia,

“Bot kayu berserta enjin 40 kuasa kuda tersebut telah dibawa ke Jeti APMM Sungai Pulai,” tambahnya.

Manakala, kesemua 6 PATI telah dibawa ke Ibu Pejabat APMM Negeri Johor untuk siasatan lanjut dibawah Akta Imigresen 1959/1963 kerana memasuki perairan Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.

Pada masa yang sama, Nurul Hizam menegaskan kepada semua warga asing yang ingin memasuki perairan negeri Johor agar menghentikan niat mereka kerana sindiket penyeludup tidak akan bertanggungjawab ke atas keselamatan dan nyawa mereka.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!