Home Semasa Doktor klinik swasta antara ditahan keluarkan kad vaksin palsu

Doktor klinik swasta antara ditahan keluarkan kad vaksin palsu

by Nurulhuda

KOTA BHARU, 19 Jan – Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan telah menahan 4 individu selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pemalsuan sijil palsu yang menawarkan harga RM180 untuk setiap suntikan di sebuah klinik swasta, kelmarin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, keempat-empat suspek yang berusia dalam lingkungan pertengahan 30 hingga awal 60 tahun itu dipercayai terdiri daripada 3 pembeli kad vaksinasi dan seorang pemilik klinik terbabit.

Beliau berkata, IPK Kelantan telah menerima laporan polis mengenai pengeluaran kad vaksinasi disyaki palsu kira-kira pukul 11.19 pagi Ahad lalu.

“Berdasarkan laporan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) telah menerima 4 aduan daripada sumber berbeza berkenaan pengeluaran kad vaksinasi disyaki palsu oleh sebuah klinik swasta di daerah ini antara 1 Oktober hingga 11 Januari lalu,

“Siasatan mendapati, klinik tersebut menawarkan perkhidmatan suntikan vaksin dengan caj RM180 setiap suntikan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Shafien, semakan lanjut oleh pihak JKNK mendapati, 4 individu yang dikatakan telah menerima vaksin tersebut tiada rekod vaksinasi di dalam aplikasi MySejahtera mereka.

Tambahnya, semasa serbuan dijalankan, polis turut merampas kad vaksinasi beserta lain-lain dokumen yang berkaitan.

Dalam masa yang sama, Shafien mengingatkan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan pemalsuan sijil vaksinasi diminta untuk tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.- airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!