Home Semasa Azam Baki akui adik guna akaun, SC berdiam diri?– Guan Eng

Azam Baki akui adik guna akaun, SC berdiam diri?– Guan Eng

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Jan – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) digesa untuk memberi penjelasan sama ada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki terlibat dalam jual beli saham secara proksi atau tidak.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, jika tidak SC dilihat terlibat dalam usaha menutup isu berkenaan.

Guan Eng menjelaskan, Azam telah mengaku secara terbuka bahawa akaun sahamnya pernah digunakan oleh adiknya.

“Seperti semua pasaran modal membangun di seluruh dunia. Malaysia telah melarang jual beli saham secara proksi melalui Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA),

“Bagaimana SC boleh untuk tidak bertindak ketika Azam secara terbuka mengaku dia membenarkan adiknya menjalankan jual beli saham secara proksi?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, tidak berbaloi untuk menggadaikan reputasi SC dan keyakinan pelabur terhadap pasaran modal Malaysia hanya kerana seorang individu.

Azam dalam satu sidang media khas pada 5 Januari lalu menafikan sekeras-kerasnya tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas beberapa syarikat termasuk syarikat konglomerat.

Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai satu penipuan besar pihak tertentu untuk memberi persepsi negatif yang direka bagi menjatuhkan reputasinya dan SPRM.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap akaun media sosial Edisi Siasat yang sejak beberapa bulan lalu mendakwa berlaku salah laku membabitkannya.

Semalam, SC mengesahkan, tiada sebarang penemuan konklusif bahawa pelanggaran terhadap akaun dagangan Azam Baki.

SC dalam kenyataan berkata, siasatan dibuat sama ada telah berlaku pelanggaran di bawah seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).

“SC telah menamatkan inkuiri dan berdasarkan keterangan yang dikumpul, pihak SC tidak dapat membuat penemuan secara konklusif bahawa pelanggaran di bawah seksyen 25(4) SICDA telah berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Lim turut mempersoalkan jika SPRM juga akan membersihkan SC daripada sebarang kesalahan.

“Dengan SC membersihkan nama Azam, persoalan turut dibangkitkan sama ada siasatan balas sebelum ini oleh SPRM terhadap SC juga akan ditutup atau dilupakan secara senyap,

“Adakah kita boleh menjangkakan kenyataan yang serupa daripada SPRM membersihkan SC daripada sebarang salah laku?, soal Guang Eng. airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!