KUALA LUMPUR, 18 Jan – Satu perhimpunan akan diadakan di Sogo pada 11 pagi 22 Januari ini.
Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki dalam satu kenyataan berkata, perhimpunan tersebut diadakan secara aman bagi menyatakan tuntutan rakyat supaya ditunaikan oleh Kerajaan Persekutuan untuk kepentingan rakyat dan negara.
“Jika anda tidak bersama pada hari dan waktu tersebut, kibarkan bendera hitam dan gunakan tanda pagar #TangkapAzamBaki serta #RombakSPRM pada setiap hantaran media sosial anda,” katanya.
Dalam kenyataan yang sama, pihak sekretariat menegaskan rakyat sekian lama dibiarkan tanpa sebarang penjelasan yang memuaskan dari kerajaan dan pihak berkuasa berhubung isu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki.
“Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang sepatutnya bersidang pada 19 Januari ini bagi menyiasat Azam Baki juga telah ditangguhkan,
“Maka apakah jalan lain bagi rakyat untuk mendapatkan penjelasan dan memastikan mereka yang diberi amanah menjalankannya dengan bebas dan adil?” ujarnya.
Selain daripada itu, pihak Jawatankuasa Tangkap Azam Baki mendesak agar Azam Baki ditangkap dengan serta-merta oleh agensi penguat kuasa.
“Proses undang-undang ke atas Azam Baki bermula dengan segera SPRM dirombak dan diletakkan di bawah Parlimen,” kata kenyataan itu.
Selain daripada itu, pihak sekretariat menegaskan setiap pemimpin dan anggota yang berjawatan tinggi harus berhenti bertindak atas kepentingan sendiri termasuk menipu serta menyeleweng untuk kekal berkuasa.
Mengulas tindakan saman terhadap wartawan penyiasatan dari Independent News Service (INS), Lalitha Kunaratnam, pihak sekretariat menyatakan ianya adalah langkah untuk menutup dakwaan terhadap Azam Baki.
“Azam Baki mengelak daripada menjawab isu struktural dengan tidak memberi kerjasama kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri berkenaan pembelian dan pemilikan saham tersebut,
“Sebaliknya, beliau memilih untuk memfailkan saman sebanyak RM10 juta terhadap wartawan yang menulis artikel berkait dengan tindakan Azam serta adiknya Nasir Baki,
“Tekanan sebegini bersifat menutup cerita sebenar daripada terkeluar dan menimbulkan lebih banyak persoalan,
“Malah, Azam Baki bertindak menyalahgunakan nama dan jawatan Yang di-Pertuan Agong dengan berkata sebarang laporan berkait isu ini adalah tindakan menghina YDPA,” tegasnya. – airtimes.my