Home Pertahanan dan Keselamatan Pindaan Akta Tabung Angkatan Tentera perkukuh perlindungan sosial anggota tentera

Pindaan Akta Tabung Angkatan Tentera perkukuh perlindungan sosial anggota tentera

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Pindaan Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 adalah penting bagi memacu transformasi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi mengukuh perlindungan sosial dan menjamin kelangsungan hidup anggota tentera.

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima baik pengumuman Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berhubung cadangan pindaan Akta Tabung Angkatan Tentera 1973.

“Sejak Jun 2021, LTAT telah memainkan peranan aktif dalam menerajui sesi libat urus bersama pihak berkepentingannya agar transformasi LTAT diselaraskan dengan teras Pelan Strategik Pertahanan 2022 (PT22),

“Sinergi bersama Kementerian Pertahanan ini amat penting agar transformasi LTAT dapat dilaksanakan dengan berkesan bagi mengukuhkan perlindungan sosial serta menjamin kelangsungan hidup masa hadapan anggota tentera,” kata Eksekutif LTAT, Datuk Nazim Rahman.

Terdahulu, Hishammuddin dalam ucapannya di Majlis Amanat Tahun 2022 Menteri Kanan Pertahanan menyatakan cadangan dasar pindaan Akta Tabung Angkatan Tentera telah menerima kelulusan secara berprinsip oleh Jemaah Menteri semasa Mesyuarat Kabinet.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan pindaan akta tersebut akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada tahun ini.

Dalam pada itu, LTAT menjelaskan pindaan ini merupakan asas penting yang bakal memacu transformasi badan itu ke peringkat seterusnya agar ia dapat mengukuhkan tadbir urus dan menambahbaik kerangka pelaburan mengikut perumpukan aset strategik (strategic asset allocation – SAA).

“Kerangka baru ini bakal menjamin pulangan yang mampan dan kompetitif kepada pencarumnya, yang terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

“Penambahbaikan Akta Tabung Angkatan Tentera juga mengukuhkan tadbir urus LTAT sebagai dana persaraan seperti menetapkan kewajipan berjaga-jaga (duty of care) kepada ahli Lembaga, Pengurusan dan pegawai LTAT untuk melindungi kepentingan pencarumnya,

“Ia turut menambahkan komposisi ahli bebas panel pelaburan yang terdiri daripada individu yang berpengalaman dan berwibawa dalam aspek pelaburan,” jelasnya.

Antara inisiatif penambahbaikan akta tersebut adalah mewujudkan peruntukan seksyen baru bagi mendapatkan jaminan Kerajaan ke atas simpanan persaraan pencarum LTAT, sama seperti jaminan Kerajaan terhadap simpanan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Lembaga Tabung Haji (LTH).

“Pindaan di bawah Seksyen 12 akan membenarkan pencarum mengeluarkan sebahagian daripada simpanan mereka setelah bersara kelak, dan baki yang masih tersimpan di dalam LTAT layak menerima dividen,

“Sementara itu, pindaan di bawah Seksyen 15 akan memastikan pelaburan yang dijalankan LTAT
adalah berdasarkan kepada kerangka perumpukan aset strategik (SAA) serta polisi pelaburan bagi memberi pulangan dividen yang lebih kompetitif dan mampan kepada pencarum,” jelas LTAT. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!