PULAU PINANG, 17 Jan – Seramai 591 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), penjawat awam Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) dan keluarga menerima suntikan vaksin dos penggalak dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div) dalam hantaran di media sosialnya berkata, program tersebut berlangsung selama 2 hari bermula 12 hingga 14 Januari lalu di Padang Kawad Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD).
“Program ini mendapat kerjasama daripada pihak pengurusan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu yang dikoordinasikan oleh Appointed Military Commander (AMC) Komander Artileri Divisyen 2 Divisyen (Arti Div 2 Div), Kol Norazman Ismail,
“Perlaksanaan ini melibatkan seramai 80 petugas terdiri daripada pegawai dan anggota dari 804 Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) serta pegawai perubatan ATM, paramedik, staf sokongan ATM dan staf kesihatan awam KEMENTAH bagi menjayakan program ini,” katanya. – airtimes.my