Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan 2 warga tempatan, guna bot kargo seludup barang dari negara jiran

APMM tahan 2 warga tempatan, guna bot kargo seludup barang dari negara jiran

by Air Times News Network

TAWAU, 15 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau telah menahan sebuah bot kargo tempatan bersama muatan pelbagai barangan yang disyaki diseludup dari negara jiran di kedudukan sekitar 1.1 batu nautika selatan Batu Tiga, pada Khamis.

Pengarah APMM Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, anggotanya telah mengesan dan menahan sebuah bot yang bergerak dalam keadaan mencurigakan menuju ke muara Sungai Tawau pada jam 4.15 pagi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan seorang tekong warga tempatan berusia 32 tahun bersama seorang penumpang wanita tempatan berusia 35 tahun.

“Hasil penggeledahan APMM ke atas bot kargo berkenaan menemukan pelbagai barangan dipercayai telah diseludup dari negara jiran,

“Antara barangan yang didapati ialah 1,171 helai kain batik buatan Indonesia; 500 helai kain pelikat Gajah Duduk; 1,445 helai pakaian wanita; 2,125 ketul gula merah; 2688 botol losyen badan jenama Bengkoang serta 24 tong gas LPG kosong,” jelasnya menerusi hantaran di media sosial milik APMM pada Jumaat.

Siva Kumar berkata, kesemua barangan dipercayai berasal dari negara Indonesia dan tekong gagal menunjukkan sebarang dokumen atau permit yang sah berkaitan muatan yang dibawa.

“Kedua-dua suspek ditahan bersama bot dan muatan seterusnya diiring ke Jeti APMM Tawau untuk sisatan lanjut,

“Kesemua barang termasuk bot kargo dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM141 ribu. Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!