PASIR MAS, 15 Jan – Hasrat 18 orang pendatang tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang ingin mencari pekerjaan di Johor Bahru gagal, apabila 2 buah kenderaan yang dinaiki berjaya ditahan oleh Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan dalam satu serbuan di hadapan Sekolah Menengah Agama Islamiliah di Pasir Mas, semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, serbuan yang dilakukan pada jam 8 malam itu, mendapati PATI berkenaan dibawa menggunakan 2 buah kenderaan utiliti serbaguna jenis Starex dan dipandu 2 pemandu warga tempatan beralamat di Johor Bahru.
“Pemeriksaan mendapati kenderaan pertama dinaiki 9 individu termasuk pemandu manakala kenderaan kedua dinaiki 11 individu termasuk pemandu,
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua warganegara Myanmar yang terdiri daripada 12 lelaki dan 6 perempuan berkenaan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah termasuk dokumen pengenalan serta permit perjalanan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, 2 lelaki tempatan tersebut yang berasal dari Johor bertindak sebagai ejen untuk menghantar PATI dari sempadan Malaysia-Thailand dengan upah sebanyak RM300 bagi seorang PATI.
“Pemandu memperolehi upah sebanyak RM300 bagi seorang untuk membawa kesemua warganegara Myanmar daripada sempadan Malaysia-Thailand ke Johor Bahru untuk peluang perkerjaan yang belum pasti lagi,
“Kesemua warganegara Myanmar dipercayai dibawa masuk dari negara jiran Thailand ke Malaysia melalui pengkalan-pengkalan haram,” tambahnya.
Azhari menjelaskan, turut dirampas sebuah telefon bimbit Iphone, Huawei dan Poco F3 dengan nilai keseluruhan sebanyak RM165,000 termasuk 2 kenderaan tersebut.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 26A Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63. -airtimes.my