KUALA LUMPUR, 14 Jan – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan kes kematian mengejut orang kena tuduh (OKT) di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, Perak pada Khamis.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Azri Ahmad berkata, siasatan tersebut akan dibuat Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Bukit Aman.
“Pada 13 Januari jam 11 pagi, pihak JIPS telah dimaklumkan berkenaan satu kejadian kematian OKT dalam tahanan polis di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Taiping, Perak,
“OKT adalah seorang lelaki melayu berumur 63 tahun, merupakan tahanan tumpang dari penjara Taiping yang telah dituduh pada 18 April 2021 di bawah Seksyen 379A dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurut Azri, OKT telah ditempatkan di lokap IPD Taiping selepas sebutan pertama kes pada 11 Januari 2022, sementara menanti sebutan seterusnya 14 Januari 2022. – airtimes.my