Home Pertahanan dan Keselamatan ESSCOM berjaya bendung ancaman keselamatan terhadap Sabah

ESSCOM berjaya bendung ancaman keselamatan terhadap Sabah

by Nurulhuda

TAWAU, 14 Jan – Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya mengagalkan dan membanteras pelbagai elemen jenayah rentas sempadan termasuk aktiviti militan dan pengganas sepanjang tahun 2021.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien berkata, operasi keselamatan melalui ESSCOM berjaya menghalang aktiviti kidnap for ransom, rompakan laut, penyeludupan dan juga kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri bawah bayu itu.

Beliau berkata, melalui operasi sepanjang tahun 2021, ESSCOM telah berjaya merampas dadah bernilai RM3.34 juta, rokok seludup dan barangan terkawal bernilai RM1.38 juta.

Selain itu, Hishammuddin berkata, operasi ESSCOM juga berjaya menangkap seramai 154 orang PATI bersama 393 buah bot, mengusir 1,407 orang PATI dan 119 buah bot.

“Anggota ESSCOM juga telah memeriksa sebanyak 30,666 buah bot sepanjang operasi tersebut dilaksanakan,”jelasnya dalam sidang media selepas tinjauan ke Markas Angkatan Tugas Bersama (ATB 2), hari ini.

Tegasnya, tiada rekod penculikan baharu direkodkan di kawasan perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) sepanjang tahun 2021.

“Pihak ESSCOM maklumkan kepada saya bahawa secara relatifnya, ESSZONE adalah selamat dan terkawal,

“Namun begitu, itu tidak bermakna ESSCOM akan mengendurkan operasinya. Sebaliknya, ESSCOM akan terus diperkukuhkan lagi dan perancangan mengenainya akan dimaklumkan kepada umum dari masa ke masa,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan dan memberi jaminan kepada orang-orang Sabah bahawa komitmen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Pertahanan kepada keselamatan Sabah tidak berbelah bagi.

“Usaha ketiga-tiga cabang perkhidmatan, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Darat Malaysia (TDM) akan tetap diteruskan demi menjaga kedaulatan dan keselamatan Sabah,

“Sebagai contoh, 8 batalion dari TDM telah pun dikerahkan dari dahulu lagi untuk menjaga keselamatan pantai timur Sabah. Pada ketika ini di mana 4 batalion beroperasi dan 4 batalion berpangkalan serta siap sedia untuk tangani sebarang kemungkinan untuk diaturgerak,

“Jadi isu-isu yang berhubung kait dengan kem, lokasi kem berkenaan tidak perlu dibangkitkan, yang penting ialah kemampuan mengaturgerak anggota dan aset sekiranya diperlukan,

“Dan setelah mendengar taklimat tadi, saya yakin kita (anggota ATM) berada dalam keadaan bersiap sedia dan mampu berdepan dengan perkara yang tidak diingini berlaku,” ujarnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!