BANGKOK, 9 Jan – Tentera Laut Diraja Thailand (RTN) telah menemui sebuah kapal kargo yang ditinggalkan di perairan negara itu.
Pada Khamis lalu, kapal sepanjang 80 meter itu dikesan oleh pekerja pelantar minyak dan RTN telah menghantar UAV mengenal pasti situasi semasa.
“Kapal bernama FIN SHUL YUEN 2 ditemui hanyut kira-kira 70 batu nautika tenggara Koh Samui,
“Ia dikesan berada berhampiran pelantar minyak yang dioperasikan oleh Chevron,” lapor Bangkok Post.
Menurutnya, anggota RTN telah menaiki kapal tersebut bagi melakukan pemeriksaan. Tulisan Cina dikesan pada beberapa bahagian kapal namun kesemua nombor yang terdapat pada bahagian kapal telah dipadam.
Difahamkan tiada sebarang rekod atau maklumat mengenai pemilik asal kapal tersebut.
“Kapal tersebut tidak mempunyai sebarang kru. Tiada peralatan, sauh, dokumen mahupun kargo ditemui pada atas kapal tersebut,
“Ia seolah-olah sengaja ditinggalkan,” kata laporan itu.
Pada malam Sabtu, Fin Shul Yuen 2 telah ditunda oleh RTN namun tenggelam akibat ombak.
Kapal tersebut tenggelam pada kedalaman 28 meter, kira-kira 28 batu nautika dari daerah Sichon. – airtimes.my