Home Semasa Agensi keselamatan Indonesia tahan 3 suspek terlibat tragedi bot karam di Tanjung Balau

Agensi keselamatan Indonesia tahan 3 suspek terlibat tragedi bot karam di Tanjung Balau

by Bernama

JAKARTA, 10 Jan – Usaha pengumpulan maklumat, pengawasan dan siasatan berterusan pihak berkuasa Indonesia membuahkan hasil apabila agensi keselamatan menahan beberapa lelaki tempatan yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran.

Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha agensi-agensi terbabit untuk menangani pemerdagangan orang membabitkan pekerja asing tanpa izin dari Indonesia ke Malaysia dan siasatan menyeluruh mereka terhadap insiden bot karam pada Disember lalu yang mengakibatkan 21 orang maut.

Polis Riau menahan tiga suspek termasuk pemilik bot, dikenali sebagai Susanto, selepas bot itu karam di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor, Malaysia.

Dua suspek dari Batam yang dipercayai orang tengah untuk merekrut warga tempatan ditahan pada 2 Jan, manakala Susanto ditahan di Tanjung Uban Bintan, Kepulauan Riau, menurut laporan media dalam talian.

Dalam tragedi bulan lalu, sebuah bot dipercayai membawa kira-kira 50 pendatang, terbalik di perairan Tanjung Balau pada 4.30 pagi ketika cuaca ribut.

Jumlah mangsa yang lemas dalam kejadian bot karam itu kekal 21 orang, dengan lebih 16 dikhuatiri masih hilang dan 13 berjaya diselamatkan. Sembilan daripada yang terselamat adalah dari Lombok, dan masing-masing seorang dari Batam, Pekan Baru, Jember dan Tanjung Balai Karimun.

Tragedi itu mencetuskan kemarahan dan mengembalikan semula kenangan pahit beberapa insiden serupa sebelum ini, termasuk pada Ahli Suruhanjaya I Dewan Rakyat, Christina Aryani, yang berkata pihak berkuasa tidak menangani isu pemerdagangan orang yang telah lama berlarutan.

Aryani menyuarakan harapan agar tragedi itu akan menjadi momentum kepada pembaharuan menyeluruh, menekankan bahawa “ia melibatkan kehidupan manusia.”

Sementara itu, Agensi Penempatan dan Perlindungan Pekerja Migran Indonesia mendedahkan individu yang mencari kerja di luar negara secara haram membayar sehingga 15 juta rupiah (RM4,400) kepada perekrut.

Ketua Jabatan Tenaga Kerja dan Transmigrasi Daerah Lombok Tengah, Lalu Karyawan menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap perekrut yang menawarkan pekerjaan di Malaysia.

Kerajaan tempatan masih belum menerima sebarang notis daripada kerajaan pusat berhubung penempatan pekerjaan di Malaysia sejak pandemik bermula, lapor Agensi Berita Indonesia, Antara.

Dalam kes terbaru Khamis lalu, pihak berkuasa menggagalkan percubaan menghantar 52 pendatang tanpa izin, terdiri daripada 34 lelaki, 17 wanita dan seorang kanak-kanak ke Malaysia.

Ketua Polis Asahan, Asisten Komisioner Putu Yudha Prawira berkata, pihak berkuasa menahan tekong bot tanpa nama yang mahu berlepas ke Malaysia pada 6 Jan jam 8.30 malam dari perairan Asahan, di Sumatera.

Suspek dan tiga rakannya melakukan tindakan itu atas arahan seorang wanita yang menjanjikan bayaran sejumlah lima juta rupiah.

Suspek melanggar Undang-undang Nombor 18 Tahun 2017 mengenai perlindungan pekerjaan, undang-undang pelayaran dan Undang-undang Nombor 21 Tahun 2007 mengenai pembasmian pemerdagangan orang.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara minimum tiga tahun dan maksimum 15 tahun dan denda sehingga 600 juta rupiah (RM176,000), kata Putu Yudha dalam satu kenyataan.

Pada malam 6 Jan, Tentera Laut bertindak atas maklumat bahawa sebuah bot sedang menuju ke Malaysia, menurut Komander Komando Armada Tentera Laut Asahan, Laksamana Muda Arsyad Abdullah.

“Kami menahan bot itu dan menundanya ke darat pada pukul 3.00 pagi,” katanya, sambil menambah pasukannya akan terus melakukan rondaan laut secara berkala di kawasan itu.

Polis dan Tentera Laut masih meneruskan siasatan untuk menangkap pelaku lain yang berkaitan dengan rangkaian kumpulan penyeludupan itu. -Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!