KUALA LUMPUR, 6 Jan – Sebanyak 1,585 kes penipuan Macau Scam telah disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tahun 2021.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Mohd Kamarudin Md Din dalam satu kenyataan berkata, jumlah keseluruhan kerugian yang dikenalpasti dari kes yang disiasat adalah sebanyak RM560,886,377.14.
Menurut beliau, seramai 9,656 individu telah ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan ini.
“Penipuan yang dilakukan secara panggilan telefon bukanlah sesuatu yang baharu dan pihak polis sentiasa komited untuk menyiasat serta membendung kegiatan jenayah ini,
“Kumpulan sindiket yang dikenal pasti terlibat dalam Macau Scam mempunyai rangkaian luar negara dan kerap mengubah taktik mereka,” jelas Kamarudin.
Beliau menambah, penjenayah menggunakan taktik menyamar sebagai pegawai dari agensi penguat kuasa dengan memaklumkan mangsa bahawa akaun bank mereka sedang disiasat dan wang mereka akan dibekukan.
“Mangsa akan diminta untuk membuka akaun bank baharu dan mengaktifkan kemudahan perbankan dalam talian dengan mendaftarkan nombor telefon yang diberikan oleh sindiket,” katanya.
Selain daripada itu, Kamarudin menyatakan sindiket turut memperdayakan mangsa bahawa mereka layak untuk menerima insentif atau bantuan dari pihak kerajaan.
“Sindiket akan meminta mangsa untuk menyerahkan ID dan kata laluan perbankan dalam talian kononnya untuk memudahkan proses bayaran bantuan,” kata Kamarudin.
Beliau menegaskan sebarang maklumat perbankan seperti ID, kata laluan dan nombor telefon adalah data yang amat penting serta sulit.
“Maklumat-maklumat ini tidak boleh dimaklumkan kepada orang lain terutamanya individu yang tidak dikenali,
“Pihak polis juga tidak pernah meminta maklumat sebegini untuk menjalankan siasatan kes,” ujar beliau.
Kamaruddin turut menyeru kepada rakyat Malaysia supaya berhati-hati agar tidak menjadi mangsa kegiatan ini. – airtimes.my