KUALA LUMPUR, 5 Jan – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket penipuan yang berselindung disebalik nama Pelaburan Forex GCG Asia dalam beberapa serbuan yang dilakukan pada Sabtu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, PDRM berjaya menahan seramai 10 individu warga tempatan berumur 29 hingga 64 tahun yang terdiri daripada 9 lelaki dan seorang wanita.
“Turut dirampas kenderaan mewah, jam tangan mewah, jongkong emas, wang tunai, dokumen dan beberapa barangan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti yang dijalankan,
“Nilai rampasan dianggarkan bernilai RM122 juta,” katanya dalam sidang media pada hari ini.
Menurut Mohd Kamarudin, sindiket ini dipercayai beroperasi sekitar tahun 2018 serta menyasarkan rakyat Malaysia sebagai mangsa penipuan.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menggunakan platform media sosial sebagai produk pengiklanan serta pelabur yang berminat kemudiannya akan ditawarkan keuntungan secara mingguan sekitar 12 hingga 14 peratus dari jumlah yang dilaburkan,
“Bagi memantau pelaburan yang dibuat, pelabur akan diberikan akses kepada laman web pelaburan yang diwujudkan oleh sindiket,” ujarnya.
Menurutnya lagi, dengan pengkilanan laman web tersebut, pelabur akan terpengaruh dengan melihat peningkatan keuntungan yang diperolehi.
Tambahnya lagi, mangsa akan menyedari telah ditipu apabila sindiket tersebut memutuskan perhubungan talian dengan pihak pelabur dan menamatkan operasi pelaburan secara tiba-tiba. -airtimes.my