Home Semasa PDRM kerah Polis Marin, PGA dan FRU bantu mangsa banjir di Segamat

PDRM kerah Polis Marin, PGA dan FRU bantu mangsa banjir di Segamat

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 5 Jan – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengaturgerakkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Polis Udara (PGU) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) untuk melaksanakan operasi pasca banjir di Segamat, Johor

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya menerusi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) akan menyelaraskan segala bentuk bantuan bagi penduduk yang terputus hubungan akibat banjir.

“Helikopter milik PGU juga akan digunakan untuk menghantar bekalan keperluan bagi penduduk di Segamat yang terputus hubung susulan jalan darat dinaiki air,

“Bagi operasi pasca banjir yang bakal dilaksanakan pula, elemen KDNKA seperti Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM), PGU dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akan digerakkan untuk menjalankan proses pembersihan infrastruktur awam dan rumah ibadat di Segamat,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Acryl Sani turut menjelaskan, secara keseluruhan terdapat 6 agensi termasuk PDRM telah ditugaskan menerusi Operasi Banjir yang membabitkan kekuatan seramai 377 anggota di daerah berkenaan.

“Agensi lain termasuklah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membabitkan 57 anggota, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (25), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (15), Angkatan Relawan Rakyat Malaysia (23) serta Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (10),” tambahnya.

Daerah Segamat merupakan kawasan yang terjejas teruk akibat bencana banjir yang melanda sejak Sabtu lalu.

Sebanyak 1,047 buah keluarga yang melibatkan 3,961 mangsa telah ditempatkan di 53 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah ini. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!