KUALA LUMPUR, 5 Jan – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hari ini telah menahan 13 orang warga asing dalam satu operasi di sebuah sebuah kompleks beli belah di Solaris, Kuala Lumpur.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dalam satu kenyataan berkata, operasi dilancarkan selepas program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) pada 31 Disember tamat pada 31 Disember lalu.
Menurut beliau, seramai 60 orang warga asing terdiri dari pelbagai warganegara yang berumur lingkungan 24 hingga 42 tahun telah diperiksa oleh pihak Imigresen.
“Operasi dijalankan di kawasan pusat perniagaan lot premis lima tingkat. Premis tersebut kebanyakan menggaji warga asing sebagai pemandu parkir valet, pengawal keselamatan, tukang cuci dan jurujual.
“Hasil pemantauan, kesemua warga asing ini digajikan oleh majikan warga tempatan,” katanya.
Jelas Khairul, warga asing yang sedang bekerja di kompleks tersebut cuba menukar pakaian seragam yang dipakai untuk berlakon sebagai pengunjung bagi mengelak dari ditahan pihak berkuasa.
“Seramai 13 orang lelaki warganegara India telah ditangkap kerana kesalahan salah guna Pas dan Tinggal lebih masa,” jelasnya.
Beliau menambah, seorang lelaki warga tempatan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.
“Semasa pemeriksaan, terdapat pekerja warga asing yang bekerja telah mendaftar untuk Rekalibrasi Pulang dan dalam proses penghantaran pulang mengikut tarikh tiket yang disediakan majikan,
“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, langgar syarat pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen,” kata Ketua Pengarah Imigresen.
Jelasnya, kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – airtimes.my