Home Semasa ABIM gesa kerajaan, pihak terlibat segera henti pembalakan

ABIM gesa kerajaan, pihak terlibat segera henti pembalakan

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 5 Jan – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersama Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) mengesa kerajaan mengenakan moratorium atau pemberhentian segara terhadap sebarang aktiviti pembalakan buat masa ini.

Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pihaknya bersama PEKA telah memulakan inisiatif petisyen secara online dan sehingga kini telah mencapai lebih 200,000 tandatangan.

“Petisyen ini telah mengabsahkan tuntutan serta kekhuatiran rakyat terhadap aktiviti pembalakan yang jelas memusnahkan alam serta mengakibatkan lebih banyak bencana kepada negara,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi merujuk kepada bencana yang berlaku dalam negara sejak kebelakangan ini khusunya banjir besar yang masih berterusan hingga hari ini.

“ABIM menegaskan bencana yang berlaku di luar jangka ini punya perkaitan rapat dengan situasi perubahan iklim yang berlaku,

“Perubahan iklim menyebabkan berlakunya ketidaktentuan cuaca seperti yang berlaku sekarang dengan keadaan ketidakbolehjangkaan berlakunya sesuatu musim mengikut masa kebiasaan,

“Situasi ini mengakibatkan ketidaktentuan waktu hujan turun dan kadar taburan hujan pada sesuatu masa,

“Maka, ini menjadi penyebab berlaku banjir besar apabila kemudahan yang disediakan bagi membendung limpahan air tidak dapat berfungsi,” ujarnya.

Menurutnya, perubahan iklim yang melanda adalah akibat dari kerosakan serta kemusnahan alam yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab khususnya menerusi aktiviti pembalakan yang amat berleluasa.

Sementara itu, Muhammad Faisal berkata, ABIM menyambut baik arahan yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang pada 3 Januari lalu untuk menangguhkan sementara aktiviti pengusahasilan hutan dan pengangkutan kayu balak.

“Arahan ini seharusnya diikuti oleh pihak berkuasa di negeri-negeri lain seluruh negara bagi memastikan usaha memelihara alam ini dapat dijayakan secara holistik dan berkesan,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!