KUALA LUMPUR, 4 Jan – Bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong hari ini menegaskan pelantikan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof sebagai pengerusi Boustead merupakan satu penghinaan kepada Angkatan Tentera Malaysia.
Beliau dalam satu kenyataan berkata, pelantikan bekas Menteri Tugas-tugas Khas untuk menjawat jawatan tersebut adalah sesuatu yang tidak patut berlaku.
“Semasa era Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad serta Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menekankan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead hanya diuruskan oleh golongan profesional, bukannya ahli politik,
“Redzuan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Khaled Nordin yang meletak jawatan kerana protes terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin,
“Sebelum Khaled, jawatan pengerusi Boustead dipegang oleh bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Ghazali Che Mat,” katanya.
Menurut Liew, LTAT dan Boustead sepatutnya mewakili keperluan, pandangan dan perspektif ATM serta anggitanya.
“Sebelum ini saya pernah berharap agar LTAT dan Boustead untuk menjadi pusat pelaburan industri pertahanan yang baharu melalui transformasi yang diperkenalkan oleh Pakatan Harapan melalui Kertas Putih Pertahanan,
“Usaha ini tidak berjaya apabila berlaku Langkah Sheraton,” jelasnya.
Beliau menambah, Boustead dan anak syarikat, Boustead Shipyard sedang berhadapan dengan isu projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS).
“Redzuan tidak sepatutnya dilantik kerana beliau tidak akan mampu untuk menangani krisis besar yang dihadapi oleh pihak syarikat,
“Dengan melihat reputasi beliau, masalah mungkin akan bertambah buruk. Pelantikan Redzuan adalah satu penghinaan kepada ATM dan wajar dibatalkan serta-merta,” tegas Liew. – airtimes.my