Home Pertahanan dan Keselamatan ATM kerah 196 anggota, 31 aset bantu mangsa banjir di Johor

ATM kerah 196 anggota, 31 aset bantu mangsa banjir di Johor

by Nurulhuda

SEGAMAT, 3 Jan – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengaturgerakkan hampir 200 anggota termasuk pegawai bagi melaksanakan Operasi Murni (Op Murni) bagi menyelamatkan mangsa banjir di kawasan-kawasan yang terjejas di negeri Johor.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien berkata, sebanyak 31 aset ATM juga telah diaturgerak ke kawasan-kawasan terlibat termasuklah 7 unit bot, 7 unit enjin bot, 1 unit trak 7 tan, 14 unit trak 3 tan dan 2 unit trak 1 tan.

Menurutnya, keutamaan atur gerak anggota adalah bagi menyelamatkan mangsa banjir di Johor yang melibatkan Daerah Tangkak, Segamat, Kota Tinggi, Johor Bahru, Kluang dan Mersing yang mula dilanda banjir sejak semalam.

“Op Murni di Johor, sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 12 pegawai dan 184 anggota telah berada di lapangan bagi melakukan tugasan operasi,

“Setakat ini ATM telah mengaturgerak anggota dan aset dari Batalion ke-5 Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD); Rejimen Ke-33 Rejimen Artileri Diraja (33 RAD); Rejimen Ke-2 Rejimen Artileri Diraja (2 RAD); Rejimen Ke-4 Rejimen Artileri Diraja (4 RAD); Batalion Ke-6 Rejimen Renjer Diraja (6 RRD); Rejimen 501 Askar Wataniah (Rej 501 AW); serta Skuadron Ke-8 Rejimen Askar Jurutera Diraja (8 Skrn RAJD),

“Ini setakat hari ini, dan selepas berbincang dengan agensi lain yang terlibat, saya percaya aset-aset di agensi berkenaan dapat digerakkan kepada mereka yang memerlukannya,” katanya ketika sidang media di Kem Segamat, batu Anam, hari ini.

Sementara itu, Hishammuddin juga menjelaskan, Op Murni turut sedang giat dilaksanakan di seluruh negara di mana, secara keseluruhan setakat ini, seramai 60 pegawai dan 1,123 anggota telah diaturgerak ke seluruh negara termasuk Johor.

“Sebanyak 190 aset merangkumi enjin bot, trak 7 tan, trak 3 tan, trak 1 tan, ‘backhoe’ (jentera pengorek), lori ‘tipper’, ‘water bowser’ (pengangkut air) dan ambulan medan,” jelasnya.

Hishammuddin berkata, perancangan Op Murni akan dikemaskini dari semasa ke semasa mengikut situasi banjir di sesebuah negeri dan kawasan.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 4,062 mangsa daripada 1,064 buah keluarga telah ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di 6 kawasan yang terjejas di negeri Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan turut memaklumkan, sebanyak 64 buah PPS telah didirikan berbanding 59 buah PPS pada tengah malam tadi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!