Home SemasaGlobal Tentera Udara Thailand intai peluang beli 8 buah F-35

Tentera Udara Thailand intai peluang beli 8 buah F-35

by M.Daim

BANGKOK, 31 Dis – Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF)  sedang mempertimbangkan pembelian 8 buah jet pejuang generasi ke-5, F-35 dari Amerika Syarikat.

Perolehan pesawat tersebut dipertimbangkan sebagai salah satu langkah untuk tingkat upaya angkatan udara negara itu.

“RTAF memerlukan jet pejuang baharu bagi menggantikan F-5 yang telah berkhidmat lebih dari 3 dekad,

“Pesawat yang lama akan meningkatkan kos penyelenggaraan dan juga memberi risiko tinggi dari aspek keselamatan,” lapor Bangkok Post yang memetik Panglima Tentera Udara Thailand, Air Chief Marshall Napadej Dhupatemiya.

Menurut beliau, kos pembelian F-35 kini adalah lebih rendah berbanding harga semasa pesawat tersebut mula diperkenalkan.

“F-35 dilihat sebagai salah satu pilihan yang terbaik kerana kosnya adalah sekitar US$82 juta sebuah berbanding US$142 juta semasa ia mula diperkenalkan,

“Thailand mampu untuk membeli jet pejuang Gripen keluaran Saab yang setiap satunya berharga US$85 juta. Maka, perolehan F-35 keluaran Lockheed Martin adalah tidak mustahil,

“Kos F-35 mungkin mampu untuk diturunkan kepada US$ 70 juta sebuah, bergantung kepada perbincangan dan rundingan dengan pihak pengeluar,” katanya.

Napadej menambah, rancangan belanjawan perolehan F-35 akan dimulakan seawal Oktober 2023.

Harga sebuah jet pejuang F-35 adalah US$ 82 juta manakala Gripen adalah US$ 85 juta – Panglima Tentera Udara Thailand. Foto: USAF/ Tech Sgt. Aaron Oelrich

“Panel kajian perolehan akan ditubuhkan bagi menentukan kewajaran pembelian F-35 oleh RTAF,

“F-35 mampu untuk memenuhi keperluan dan matlamat RTAF untuk mencapai keupayaan sebagai sebuah angkatan udara yang moden,” ujarnya.

Napadej menambah, Thailand turut berminat dengan pengoperasian Loyal Wingman yang dibangunkan oleh Boeing dan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF).

“Kita mungkina akan mengoperasikan 8 ke 12 buah F-35. Pada masa yang sama, kita mengoperasikan UAV secara bersama dengan pesawat ini,

“Langkah ini dapat menjimatkan kos. Teknologi ini sememangnya masih baharu namun ia akan berkembang dengan pantas,” kata Panglima Tentera Udara Thailand.

Dalam pada itu, Napadej menegaskan pihaknya sedar akan halangan kewangan berikutan wabak pandemik COVID-19 yang melanda dunia semenjak 3 tahun lalu.

Jelasnya, perolehan dilakukan secara berfasa dan pemilihan produk berkualiti tinggi perlu dilakukan sejajar dengan pemindahan pengetahuan teknologi.

Selain daripada itu, beliau turut menyatakan perolehan ini mampu dicapai sekiranya RTAF mendapat sokongan dari rakyat dan barisan pemimpin politik Thailand.

“Jika RTAF mendapat sokongan dari rakyat serta pemimpin politik, kita akan meneruskan usaha untuk meningkat upaya RTAF sejajar dengan keupayaan kewangan,” katanya.

Napadej menambah, rancangan perolehan F-35 akan diserahkan kepada Prayut Chan-o-cha,  Perdana Menteri Thailand merangkap Menteri Pertahanan.

Menurut laporan Bangkok Post, jet pejuang baharu akan ditempatkan di Nakhon Ratchasima. Sementara itu, F-16 akan ditempatkan di Ubon Ratchani bagi menggantikan peranan F-5. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!