Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Bot dan trak nadi operasi tentera bantu mangsa banjir di Pahang

Bot dan trak nadi operasi tentera bantu mangsa banjir di Pahang

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=1j_8tJbkNOA[/embedyt]

 

MENTAKAB, 26 Dis – Banjir sejak Ahad lalu telah melumpuhkan seluruh pusat bandar Mentakab dan semua jalan utama yang menuju ke bandar itu ditenggelami air sepenuhnya.

Sehubungan itu, Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Batalion Ketujuh Rejimen Renjer Diraja (7 RRD) Mekanize telah diaturgerakkan bagi membantu menyelamatkan mangsa banjir di bandar berkenaan.

Pegawai Memerintah 7 RRD Mek, Leftenan Kolonel Norhisham Hassan berkata, sehingga kini, pasukannya telah mengaturgerakkan 4 buah bot yang ditempatkan di Mentakab dan Jerantut bagi membantu segala pengurusan Operasi Murni (Op Murni) dikawasan berkenaan sejak Ahad lalu.

Sebanyak 4 buah bot telah diaturgerakkan dimana, 2 bot ditempatkan di Temerloh dan 2 lagi di kawasan Jerantut – Pegawai Memerintah 7 RRD Mek, Leftenan Kolonel Norhisham Hassan

“Setelah Op Murni dilancarkan di peringkat Markas Formasi, anggota 7 RRD telah diaturgerakkan pada hari Ahad yang lepas,

“Secara keseluruhanya, sebanyak 4 buah bot telah diaturgerakkan dimana, 2 bot ditempatkan di Temerloh dan 2 lagi di kawasan Jerantut,

Trak 3 dan 7 tan juga digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas banjir di Mentakab dan Jerantut.

“Selain itu, pasukan turut mengaturgerakkan aset darat, dimana di kawasan Temerloh ini sahaja kita menyediakan 4 buah trak 3 tan dan sebiji trak 7 tan bagi menyelamatkan mangsa,

“Keseluruhan anggota yang diaturgerakkan adalah seramai 68 orang (2 platun) dimana setiap platun akan bertanggungjawab di kawasan masing-masing,” jelasnya kepada Air Times baru-baru ini.

Anggota 7 RRD Mekanize membawa barangan keperluan dan makanan ke kawasan yang terputus hubungan dengan menggunakan bot.

Norhisham menjelaskan, selain mengaturgerakkan anggota dalam misi menyelamatkan mangsa banjir, anggota 7 RRD turut membantu kerja-kerja pembersihan rumah dan fasaliti awam yang terjejas.

“Lanchang adalah kawasan terawal terkesan akibat banjir, dimana pada hari pertama misi menyelamat dilakukan, kawasan ini telah ditenggelami air sehingga ke paras bumbung,

“Pada masa tersebut, ini adalah antara rumah yang telah kami selamatkan dengan membawa mangsa ke tempat yang lebih selamat,

“Dan pada hari ini, setelah air surut, mangsa telah mula balik ke rumah masing-masing, kami juga membantu bagi melakukan kerja-kerja pembersihan rumah kediaman, jalan raya dan sekolah yang terlibat banjir,

“Ia lebih kepada Program Jiwa Murni (PJM) di mana pasukan menyediakan 1 seksyen bagi setiap kerja pembersihan,” katanya.

Tambahnya, selain kerja-kerja pembersihan rumah mangsa, anggota turut menyalurkan bekalan makan pusat pemindahan sementara (PPS) serta rumah-rumah yang terjejas.

“Pada hari ini, Sukarelawan Pahang cuba untuk menghantar makanan ke kawasan terjejas yang tidak boleh dihantar melalui jalan darat. Jadi, kami membantu dengan menggunakan kenderaan darat, dan apabila sampai ke kawasan yang dinaiki air, kami bantu menggunakan bot ke kawasan yang diperlukan,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Norhisham menjelaskan pasukannya akan sentiasa komited dalam meneruskan pelaksanaan Op Murni bagi membantu mangsa-mangsa yang terjejas banjir.

“Selagi Op Murni tidak ditamatkan, anggota tentera akan terus membantu mangsa yang terkesan bermula dari fasa menyelamatkan mangsa banjir,

“Seterusnya memasuki pasca banjir, anggota tentera diaturgerakkan bagi membersihkan rumah, sekolah, menghantar bekalan makanan termasuklah menghantar pesakit ke hospital,

“Anggota akan diaturgerak mengikut kumpulan yang dipertanggungjawabkan di kawasan masing-masing,” tambahnya.

Sejak 19 Disember lalu, anggota dan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mula diatur gerak dalam membantu operasi banjir khususnya di kawasan yang terjejas teruk.

Anggota &RRD Mekanize dalam misi menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap di kediaman mereka di Taman Mentakab Indah pada 22 Disember lalu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, atur gerak aset dan anggota ATM itu membabitkan bantuan mangsa banjir di Selangor khususnya di Klang, Sepang, Damansara dan Bukit Lanchong.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM turut menegaskan, ATM kini memberi tumpuan di Mentakab dan Karak susulan banjir teruk yang melanda daerah itu sejak Ahad lalu.

“Kita kini memberi tumpuan kepada 2 lokasi ini dan juga lokasi-lokasi lain di Pahang yang terjejas banjir,

“Di Pahang, buat masa kini atur gerak ATM adalah di Maran, Kuantan, Raub, Kuala Lipis, Jerantut, Temerloh, Pekan, Bentong dan Bera dengan atur gerak melibatkan 16 pegawai dan 206 anggota,

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM menegaskan, ATM kini memberi tumpuan di Mentakab dan Karak susulan banjir teruk yang melanda daerah itu sejak Ahad lalu.

“Pada masa kini, ATM di Pahang banyak menggerakkan aset-aset yang mempunyai mobiliti lasak dan sesuai digunakan bagi tujuan pengangkutan seperti kenderaan trak 7 dan 3 tan yang boleh meredah banjir selain dari penggunaan bot-bot tempur yang ada dalam pegangan ATM,” ujar Affendi.

Sehingga semalam, aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jumlah mangsa banjir di Pahang adalah seramai 19,839 orang di 137 pusat pemindahan sementara berbanding 21,726 orang di 148 PPS malam Sabtu.

Daerah yang masih terjejas banjir ialah Bentong, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!